Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 20 Nov: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak yang mahukan perubahan agar jangan berdiam diri dan sekadar menjadi penonton sahaja.
"Mereka yang mahukan Perubahan tidak boleh lagi berdiam diri dan sekadar menonton. Mereka sewajarnya terjun ke medan, menyatakan pendirian dan bersama-sama mencorak ruang kerjasama parti serta Pakatan Rakyat.
"Jangan lekas makan hati, kerana rakyat akan merasa mual. Bersegeralah memikul tanggungjawab memimpin walau sesederhana mana pun kekuatan di tempat masing-masing," kata Anwar dalam blognya.
Menurutnya, pimpinan ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat menyedari permuafakatan yang berusia muda ini pasti akan berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan.
"Pembentukan Pakatan Rakyat bercita-cita membawa Perubahan sedaya mungkin. Pastinya sepanjang perjalanan memperkukuh kerjasama akan ada perbezaan dan pertikaian serta mereka yang kecewa lalu meninggalkan perjuangan manakala berbondong bondong lagi hadir menyertai mendokong hasrat perubahan," katanya.
Bagi beliau, perjuangan yang merentasi batas kaum, kepercayaan dan fahaman ini menimbulkan kegerunan kepada Umno-Barisan Basional.
"Ianya kerana falsafah serta dasar permuafakatan kita mencerminkan kenyataan masyarakat majmuk di Malaysia," katanya.
Menurut beliau, tidak mungkin wujud penjajahan dalam permuafakatan ini di mana satu parti menunjuki apa yang perlu dilakukan oleh parti yang lain.
"Permuafakatan Pakatan Rakyat terbina dari asas untuk menghormati suara parti komponen dan akan berusaha bergerak dengan menggembeling dari kekuatan itu," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan