Inilah Masanya Mencontohi Abu Bakar

Kemudian Abu Bakar menemui Umar secara tertutup dan berpesan sesuatu kepadanya. Apabila Umar keluar meninggalkannya, Abu Bakar mengangkat tangannya berdoa, “Ya Allah, tidak ada apa yang aku inginkan kecuali kebaikan untuk mereka dalam keadaan aku takut fitnah menimpa mereka. Aku lakukan ini terhadap mereka dengan apa yang Engkau tahu mengenainya. Aku melakukan ijtihad dalam perkara ini untuk mereka, lantas aku lantik untuk memimpin mereka seorang yang terbaik di kalangan mereka, seorang yang paling kuat dan seorang yang sangat prihatin terhadap mereka dalam urusan membimbing mereka…”

Satu laporan lain menyebutkan, ketika sakit Abu Bakar semakin berat, dia menjengukkan kepalanya melalui lubang tingkap dan bertanya kepada orang ramai, “Aku telah berpesan kepada kamu dengan satu pesanan (perlantikan Umar), adakah kamu meredhainya?”

Orang ramai menjawab, “Kami redha wahai khalifah Rasulullah.”

Ali bin Abi Talib bangun dan berkata, “Kami tidak redha kecuali orang itu ialah Umar bin al-Khattab.”

Demikianlah sebahagian babak perlantikan Umar sebagai pengganti Abu Bakar as-Siddik, Allah meredhai mereka.

Kisah di atas saya petik daripada kitab Tarikh al-Khulafa’ karangan as-Suyuthi versi Maktabah Syamilah, fasal mengenai “Abu Bakar jatuh sakit, kewafatannya dan wasiatnya mengenai perlantikan Umar sebagai penggantinya.”

DUA - Saya yakin Tok Guru Nik Aziz tahu (malah lebih tahu daripada saya) mengenai kisah di atas. Bagi saya inilah masa yang baik dan sesuai untuk Tok Guru menentukan siapa penggantinya. Siapa orang itu, Tok Guru lebih tahu.

Kekusutan yang membelennggu Tok Guru rasanya sudah semakin reda. Isu tajaan haji, isu kononnya Husam nak letak jawatan, isu EGM, isu Ariffahmi, walau pun ada pemimpin Umno yang cuba ‘mengiau’ menarik perhatian umum mengenai semua isu itu, rasanya itu tidak akan kemana.

Tok Guru tidak perlu menunggu sehingga saat-saat akhir, maksud saya sehingga PRU 13. Atau, apa yang berlaku kepada Abu Bakar menimpa Tok Guru. Peralihan perlu berlaku ketika Tok Guru masih sihat dan berupaya, juga ketika orang ramai masih memerlukan Tok Guru.

Kalau peralihan berlaku ketika PRU ke 13, dibimbangi kekalutan berhadapan dengan pilihanraya akan mengganggu kelancaran peralihan. Tumpuan lebih terarah kepada peralihan berbanding kepada pilihanraya.

Begitu juga, jika peralihan berlaku ketika situasi Tok Guru seperti situasi Abu Bakar, dibimbangi Tok Guru tidak berupaya lagi mengawal keadaan. Saya bukan bermaksud bahawa pimpinan PAS Kelantan kemarukkan kerusi itu, tetapi tidak mustahil kelancaran peralihan terganggu juga.

Sebab itu, bagi saya peralihan perlu berlaku ketika suasana kini yang jauh daripada pilihanraya dan ketika Tok Guru masih segar-bugar. Itu lebih mudah bagi Tok Guru untuk mengawal keadaan dan menguasai situasi. Di samping memberi peluang kepada pengganti Tok Guru membiasakan dirinya dengan tugasan besar dan berat ketika Tok Guru masih berupaya menjadi mentornya.

TIGA – Menurut laporan media (baca sini), kenyataan TPJ PAS Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah yang mencadangkan supaya pengganti Tok Guru dinamakan lebih awal untuk mengelakkan kekalutan, maka secara lahirnya kekalutan memang sesuatu yang tidak dapat dielak. Cuma kalut besar atau kalut kecil, itu sahaja.

Kalau kalut kecil, ia seperti ombak kecil. Kolek mudah sahaja meredahnya dan itulah keindahan belayar di laut. Tanpa ombak kecil nikmat belayar tidak terasa sangat.

Tapi kalau itu kalut besar, ia bukan lagi nikmat kepada PAS tetapi nikmat kepada Umno.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan