Kemelut Politik Nasional: Dari Kota Mekah Ke Kota Seputih / Nizar / Anwar / Altantuya

Kadir Jasin

PERINTAH Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 16 November mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Seputih di Kedah kosong menggambarkan betapa parti-parti politik nasional masih belum sembuh daripada masalah kronik.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Abu Hassan Sarif tidak hadir dua persidangan DUN tahun ini.

Apa sudah jadi dengan politik nasional kita? Kalau Barisan Nasional lemah, Pakatan Rakyat nampaknya tidak lebih kuat. Umno ada masalah. MCA ada masalah. Pas ada masalah. PKR apa kurangnya. Yang nampak “steady” sikit adalah DAP. Itu pun belum tahu.

Dalam Pas, kelompok Nik Abdul Aziz Nik Mat bertegang leher dengan penyokong Abdul Hadi Awang sampai kena adakan seminar khas. Serentak itu muncul kontroversi mengenai cerai talak tiga dalam sumpah setia laknat parti itu.

Duduk tak duduk, Nik Abdul Aziz didedah menerima “sponsorship” kelas platinum bernilai RM65,000 ke Mekah dan menantunya, Ariff Fahmi Abdul Rahman, dilantik CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan yang Nik Abdul Aziz pengerusinya.

Kerana orang ramai sudah tahu, terpaksalah Nik Abdul Aziz membatalkan perjalanan hajinya kali ini. Tajaan RM65,000 itu boleh menghantar ramai fakir miskin ke Tanah Suci atau memberi makan anak-anak yatim dan ibu tunggal kalau si penderma yang baik hati itu mahu!

Nik Abdul Aziz Ketua PR?

PKR pula dikejutkan apabila pemimpin loncatan terbarunya Zaid bin Ibrahim mengatakan Nik Abdul Aziz adalah orang yang paling sesuai memimpin Pakatan Rakyat apabila ia didaftarkan secara rasmi.

Ini memaksa Ketua Umum PKR merangkap “Shadow Prime Minister” (PM bayang-bayangan), Anwar Ibrahim menyangkal dengan mengatakan bahawa itu adalah pendapat peribadi Zaid.

Tetapi kenyataan Zaid itu membawa erti yang besar kerana dia adalah Pengerusi Penaja Pakatan Rakyat. Jelas Zaid memikirkan kelangsungan (survival) PR daripada aspirasi politik Anwar apabila dia membayangkan Nik Abdul Aziz sebagai calon unggul pengerusi PR.

Tetapi itu sebelum Nik Abdul Aziz didedah menerima tajaan platinum ke Mekah dan sebelum menantunya dilantik CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Zaid seperti kita maklum adalah anak Kelantan.

Sama ada secara kebetulan atau bagi menyanggah cadangan Zaid melantik Nik Abdul Aziz sebagai ketua PR, Abdul Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor) melantiknya Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Negeri dengan gaji RM1.

Semua penyakit politik ini, tidak kira yang menjangkiti BN atau PR, bukan sahaja mengelirukan rakyat jelata yang sangat-sangat dahagakan pembelaan, malah lebih teruk daripada itu ia menakutkan pelabur dalam dan luar negara.

Silap-silap hari, arus politik nasional sekarang boleh menterjemahkan peribahasa menang bersorak kampung tergadai menjadi kenyataan, khasnya bagi orang Melayu dan Bumiputera yang serba daif.

Ayam sabung kita mungkin menang tetapi tanah bendang kita jadi milik orang. Apatah lagi kalau ayam sabung kita itu ayam “sponsor.”

Umno Kedah Mamaikah?

BERBALIK kepada kes Abu Hassan ini, bayangkan seorang wakil rakyat yang dipilih secara sah oleh pengundi dan telah mengangkat sumpah dilucutkan jawatan oleh mahkamah kerana tidak hadir sidang DUN.

Katalah apa yang hendak dikatakan dan berilah apa pun juga alasan, seorang Adun tidak hadir sidang tanpa alasan dan tanpa mengikut peraturan sehingga dilucutkan jawatan tidak masuk akal.

Meminjam bahasa semasa anak muda, apa sudah jadi dengan si Mamat ni? Ke mana sikap dan sifat tanggungjawab dia. Apakah dia ini seorang yang tidak ada akhlak? Apa yang ketua dia Mahdzir Khalid (bekas Menteri Besar) buat? Apakah kerja Pengerusi Umno dan BN Kedah? Apa kerja Whip BN dalam DUN Kedah? Semua ralek?

Kalau inilah tahap prestasi dan tahap akhlak kepemimpinan Umno dan BN, maka susahlah bagi sesiapa pun menyokong dan mereka. Sebaliknya orang yang cuba menyokong dan mempertahankan mereka akan dicaci dan dikeji.

Kalau inilah tahap prestasi dan tahap akhlak kepemimpinan Umno dan BN Kedah, nampaknya malaplah cita-cita besar mereka hendak menakluki semula negeri itu daripada Pas.

Saya tidak perlu memberitahu orang macam Abu Hassan, Mahdzir dan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah yang baru, Mohd Shafie Apdal, bahawa orang Umno pun selesa dengan Ustaz Azizan Abdul Razak.

Sejak pilihan raya umum Mac tahun lalu, Kerajaan Pas Kedah yang dipimpin oleh Azizan adalah antara kerajaan negeri pembangkang yang paling “steady” dan tanpa kontroversi kecuali kes rumah sembelihan babi di mana DAP yang ada hanya satu kerusi berjaya “memeras ugut” kerajaan pimpinan Pas itu.

Malah orang Pas sendiri sudah mula membandingkan kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpin oleh parti mereka seperti Kedah, Kelantan dan pada suatu waktu dulu Perak.

Dengan imej kerajaan pimpinan Pas yang tidak banyak catat cela di Kedah, adalah satu tugas berat bagi BN mempertahankan kerusi Kota Seputih jika (atau apabila) berlaku pilihan raya kecil.

BN menang tipis kerusi ini. Abu Hassan mengalahkan calon Pas Ismail Wan Teh dengan hanya 495 undi sahaja. Abu Hassan dapat 8,160 undi dan Ismail 7,665.

Peristiwa seperti ini dan orang macam Abu Hassan inilah yang menyukarkan usaha memulihkan imej Umno dan BN. Inilah jenis penyokong setia yang akan membawa rebah kepada Umno dan BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan