Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 6 Nov: Walaupun sedar seminar memperkasakan parti Sabtu ini bakal panas, PAS memutuskan untuk membuka seluas-luasnya seminar ini kepada semua pihak.
Ia akan dijalankan dengan telus dan terbuka kepada semua pihak untuk menjadi pemerhatinya di samping liputan dari pelbagai jenis media.
Demikian dinyatakan oleh Pengarah Seminar, Salahudin Ayub kepada Siasah.
Program sehari suntuk ini akan dimulakan dengan Ucapan Utama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi akan memberikan ucapan yang bertajuk "Memperkasakan Peranan PAS Dalam Pengukuhan Pakatan Rakyat Mendepani Pilihan raya ke 13."
Selepas ucapan itu, sessi percambahan minda akan diadakan di mana ahli penal khas telah dijemput iaitu Profesor Dr Abdul Aziz Bari dari UIA dan Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari UM.
"Ini bertujuan untuk membolehkan para pimpinan PAS dari semua peringkat ini akan dapar mendengar pandangan dari pihak luar secara terbuka dan berterusterang," kata Salahudin.
Di samping kedua-duanya, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan turut serta sebagai penal untuk berdialog secara terbuka dengan para peserta seminar.
Pada sebelah petangnya, kata Salahudin, sessi membahaskan ucapan Presiden akan diadakan.
Selepas itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan memberikan ucapan penutup sebelum resolusi seminar dibacakan.
Menurut Salahudin, peserta yang dijemput ke seminar ini adalah Ahli Majlis Syura Ulama, AJK PAS Pusat, AJK dewan-dewan peringkat pusat, anggota Dewan Harian Perhubungan PAS negeri-negeri.
Turut dijemput sebagai peserta adalah Yang Dipertua PAS, Setiausaha, Ketua Penerangan, ketua-ketua dewan dan ketua Urusan Ulama peringkat kawasan.
Di samping mereka, Adun, anggota Parlimen dan anggota Dewan Negara PAS juga dijemput. Pengerusi dan timbalan Pengerusi Tetap PAS juga dijemput sebagai peserta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan