Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 16 Nov: Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar sikap pemuda Umno dan pihak tertentu yang menggesa Menteri Besar Kelantan disiasat kerana terlibat dengan rasuah berhubung isu penajaan haji.
Bercakap di dewan rakyat hari ini, Anwar memberitahu banyak lagi kes-kes rasuah membabitkan pemimpin Umno Barisan Nasional dengan nilai yang lebih besar tetapi sayap Umno itu hanya berdiam sahaja.
Namun apabila membabitkan pemimpin pembangkang ujarnya, pemuda Umno terus lantang bersuara seolah olah merekalah yang konsisten menjuarai isu rasuah.
"Untuk pemuda-pemuda Umno, dengan kekayaan sedemikian, cara angkuh dan takabur, menyerang tok guru (Nik Abdul Aziz) itu sebagai perasuah, patut letak jawatan.
"Tan Sri Yang Dipertua...kita cakap soal Melayu, ketuanan Melayu, harapan Melayu....bangsa apa ini yang boleh menghina seorang pemimpin," katanya di dewan rakyat hari ini.
Beliau yang turut mendedahkan beberapa bukti kes rasuah berprofil tinggi dalam kerajaan siang tadi juga berpendapat adalah sangat tidak tepat untuk mana-mana pihak menyerang individu seperti Nik Abdul Aziz sebagai perasuah sedangkan perasuah besar lain dipencilkan.
"Saya belum tahu, sejak saya terlibat dalam politik (tahun) 1982 atau sebelumnya, seorang tokoh politik yang ada jawatan besar yang hidupnya sederhana seperti Tuan Guru Nik Aziz.
"Kalau orang macam itu pun diserbu, diaibkan dan diserang sebagai perasuah, mengapa lepaskan semua perasuah-perasuah besar lain.
Semalam, Pemuda Umno Kelantan menyerahkan memorandum kepada SPRM mendesak siasatan dijalankan dan meminta Nik Abdul Aziz meletak jawatan sebagai menteri besar.
Selain pemuda Umno, Anwar turut membidas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilihat bertindak atas arahan politik dan memfokuskan tokoh tertentu khususnya pimpinan pembangkang.
Perkara itu katanya kini menjadi pengetahuan umum dengan beberpa tindakan SPRM yang dilihat sangat obses terhadap pimpinan Pakatan Rakyat.
"SPRM ambil tindakan atas arahan politik, kerana menuju kepada tokoh-tokoh tertentu untuk pertikai kredibiliti masing-masing.
"Kalau tokoh melayu muslim begini pun diserang, ini apa nak jadi pada negara," tegasnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan