Oleh Mohd Raman Daud
GARA-GARA soal menara masjid, timbul gegaran di watan syurgawi dunia, Switzerland.
Hasilnya 57.5 peratus pengundi menyokong larangan membina menara masjid tetapi 52.2 menolaknya. Hanya 53 peratus pengundi yang terlibat. Empat daripada 26 wilayah (disebut 'canton') mencatatkan 70 peratus undi penolakan pada hari referendum 30 November lalu.
Mengapa hal ini terjadi?
Padahal, baru terdapat empat masjid dengan menara di seluruh Switzerland, negara jantung Eropah. Bukankah negara di Banjaran Alps ini sering dikenali sebagai watan berkecuali, aman dan bebas?
Namun dengan kehadiran 400,000 Muslim dalam kalangan 7.5 juta rakyatnya, timbul semacam kebimbangan bahawa jati diri Swiss kian terhakis.
Parti Rakyat Swiss (SVP), yang konservatif dan memerintah Switzerland, dilaporkan gigih berkempen dengan poster yang memaparkan Muslim memakai burqa dan menara yang seolah-olah berceracak pada bendera Swiss.
Menurut warga Muslim Swiss, Dr Tariq Ramadan (cucu Hassan Al-Bana, pengasas Ikhwanul Muslimin di Mesir) dan kini profesor di Universiti Oxford, pungutan suara merupakan suatu gambaran diskriminasi yang pertama kali timbul di Switzerland sejak 1893. Ia mencerminkan rasa tidak toleran terhadap kemajmukan.
Dalam tulisannya dalam harian Britain, The Guardian, Dr Tariq berhujah bahawa Switzerland merupakan sebuah negara sekular yang mengamalkan kebebasan beragama.
Namun, sebagai parti konservatif, SVP telah cuba menggunakan alasan dasar kebangsaan Swiss untuk menegaskan peranannya. Ia pernah cuba menentang penyembelihan cara Islam tetapi tidak meneruskan kerana mendapati cara itu serupa dilakukan oleh kaum Yahudi Swiss.
Oleh itu, hujah Dr Tariq, SVP mencari pasal dengan isu menara masjid yang kononnya mencemar jati diri watan Swiss.
Tindakan rakyat Swiss mendapat bidasan pemimpin Islam di seluruh dunia, termasuk Pertubuhan Muktamar Islam (OIC), yang menghimpun 57 negara anggota majoriti Muslim.
Adakah Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah akan membatalkan undian Ahad lalu itu? Hal ini menjadi tanda tanya.
Namun, bagi Dr Tariq, suasana benci Muslim dan Islam kian ketara sejak peristiwa 9/11. Islamofobia (benci Islam) kini menjadi agenda sesetengah negara yang banyak penduduk Islam seperti Perancis. Mentelah beberapa negara Eropah seperti Britain dan Sepanyol telah menjadi sasaran serangan bom pengganas.
Hakikatnya, majoriti warga Swiss berhak bertindak demikian. Lebih ketara kebimbangan mereka, lebih baik lagi bagi umat Islam di negara itu untuk memikirkan strategi selanjutnya.
Menurut Dr Tariq, umat Islam di Eropah perlu berani dan tabah dalam mendampingi setiap lapisan masyarakat secara cergas. Kegagalan menampilkan Islam sebagai warna dalam jati diri Switzerland atau mana-mana negara Eropah merupakan tanggungjawab Muslim.
'Siapakah yang patut disalahkan? Saya sudah mengulangi selama bertahun-tahun bahawa Muslim perlu menampilkan diri, bertindak aktif dan proaktif dalam masyarakat Barat,' hujah Dr Tariq.
Sayangnya, sikap majoriti umat Islam yang ditukil oleh media Barat juga kurang mencerminkan semangat membina.
Misalnya, Maskuri Abdillah dari Nahdlatul Ulama, pertubuhan Muslim terbesar di Indonesia dengan 40 juta ahli, berpendapat 'undian itu sebagai kebencian rakyat Swiss terhadap umat Islam'.
Seorang alim besar Mesir, Ali Gomaa, juga membidas pungutan suara itu sebagai suatu penghinaan.
OIC berpendapat 'Eropah kian menunjukkan sikap antipendatang, benci orang asing yang dijalankan oleh ahli politik berfahaman kebangsaan yang melampau sehingga di luar batas kewarasan'.
Pemerintah Switzerland memang tertekan sehingga mengerahkan diplomatnya cuba menerangkan duduk perkara dengan negara-negara Muslim.
Silap hari bulan, Switzerland mungkin menghadapi pemulauan produk dan khidmatnya oleh negara majoriti Muslim seperti yang berlaku ke atas Denmark pada 2005. Mentelah dipercayai Switzerland juga menyimpan berbilion wang dari Timur Tengah atau pemimpin Islam.
Kerajaan Denmark menggunakan alasan kebebasan bersuara untuk tidak menghalang penerbitan kartun yang menghina Nabi Muhammad lima tahun lalu.
Bezanya dengan kerajaan Denmark, pemerintah Swiss mengkaji kesan kemarahan umat Islam terlebih dulu dan melancarkan tindakan diplomasi daripada peringkat negara sehingga syarikat.
Itulah sebabnya selepas pungutan suara itu, hanya selaran saja disampaikan oleh pemimpin Islam - tidak ada ancaman sekatan ekonomi atau memutuskan hubungan diplomatik buat masa kini.
Bahkan, firma Swiss juga bertindak dengan kurang menonjolkan kehadiran mereka di negara majoriti Muslim. Padahal, syarikat seperti ABB Ltd (firma kejuruteraan) dan syarikat makanan gergasi, Nestle SA, mempunyai kepentingan besar di banyak negara majoriti Muslim.
Nestle dipercayai mempunyai 50 kilang di Dunia Muslim. Ia juga pengeluar makanan halal terbesar di dunia.
Itulah sebabnya persatuan majikan Swiss, Economiesuisse, meminta pemerintah Swiss 'agar mengurangi kesan kemarahan Muslim' dengan mengadakan dialog terbuka.
Dalam sidang niaga di Zurich, Hans-Ulrich Meister, ketua Kumpulan Bank Credit Suisse di Switzerland, berkata kebanyakan pelanggan Muslimnya memang kaya raya dan sangat profesional. 'Mereka dapat membezakan antara kesan demokrasi yang melarang menara masjid dengan kebebasan beragama.'
Namun, Menteri Keadilan Swiss, Eveline Widmer-Schlumpf, mengakui dalam sidang akhbar baru-baru ini bahawa hubungan watannya dengan negara majoriti Muslim tidak akan semulus dulu.
Trend kehadiran Muslim di Eropah merupakan kesan daripada campuran faktor tolak dan terima. Faktor tolak ialah keadaan kurang selesa seperti kezaliman, pengangguran dan kemiskinan di negara asal Muslim seperti Afrika. Faktor terima pula ialah suasana penerimaan pendatang asing kerana sebab-sebab suaka politik, penderitaan dan peluang pekerjaan di Eropah.
Hakikat bahawa masih banyak negara Eropah masih berat menerima kemasukan Turkey dalam Kesatuan Eropah mencerminkan kebimbangan bahawa Islam kian berpengaruh di benua itu.
Islam kini agama kedua terbesar di Eropah. Tidak menjadi kehairanan bahawa ada bekas gereja dan sinagog (rumah ibadah Yahudi) yang dijadikan masjid.
Namun, bak saranan Dr Tariq, umat Islam perlu menampilkan diri dengan turut membina masyarakat Eropah. Sayangnya, masalah kemunduran masyarakat Muslim Eropah dengan pelbagai isu sosial dan diperburuk dengan ancaman pengganasan mengurangi sikap penerimaan majoriti bukan Muslim Eropah.
Terdapat laporan media bahawa Muslimah bertudung kian dapat diterima. Namun, yang memakai burqa disekat - hal ini dapat difahami kerana sukar mengenal pasti diri Muslimah sedemikian. Lagipun Muslimah memakai burqa memang segelintir.
Tanpa ada dasar ketara menyekat kebebasan beragama, bermakna Muslim di Eropah, termasuk Switzerland, masih boleh mengamalkan Islam. Pokoknya, mereka perlu tabah lagi bijaksana mengatur langkah.
Tetapi bagaimana dengan bentuk masjid yang tanpa menara?
Seorang alim setempat menceritakan pengalamannya mengembara ke Jawa.
'Di Kudus, Jawa, terdapat masjid yang dikaitkan dengan Sunan Kudus tetapi bentuknya macam pura Hindu. Ini disebabkan tempat ini daerah Hindu yang kuat pada zaman selepas Majapahit. Bahkan, sampai kini, tidak ada korban lembu (binatang yang dimuliakan dalam agama Hindu). Yang ada hanyalah korban kambing atau domba sampailah hari ini. Pun Islam tetap mekar di sana.'
Saya menatap gambar sebuah masjid di China yang dibina seribu tahun lalu - pagoda yang boleh disalah tafsir sebagai kuil. Pun ia tetap masjid yang sehingga kini makmur diisi oleh umat Muslim Hui.
'Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'. Peribahasa ini menjelaskan betapa perlu seseorang menyesuaikan diri di tempatnya agar dapat diterima masyarakat setempat.
Perjalanan umat Islam Swiss kini bak mendaki Matterhorn setinggi 4,478 meter, gunungnya yang paling terkenal. Namun ia bukanlah puncak tertingginya. Yang tertinggi ialah Monte Rosa, 4,643 meter.
Alim besar Indonesia, almarhum Hamka dalam novelnya, Merantau Ke Deli, menyatakan bahawa ketika dalam pendakian usahlah menangis kerana di sebaliknya menanti tempat yang mendatar. Maka kuatkanlah azam dan kaki agar tidak tergelincir.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan