Saya memilih tajuk “Burj Khalifa Bakal Memufliskan Dubai?” kerana saya melihat kepada pelbagai komentar tentang kegentingan ekonomi yang sedang dihadapi oleh Dubai akibat daripada proses pembangunan yang luar biasa dalam tempoh yang singkat. Dengan perlaksanaan pembangunan untuk menarik pelabur-pelabur daripada luar untuk menjadikan Dubai sebagai pengkalan penjanaan ekonomi belum menampakkan hasil yang diharapkan.
Burj Khalifa menelan belanja sebanyak RM67 bilion dan mempunyai lebih 3,000 unit kediaman, 1,200 ruang untuk membeli belah dan sembilan hotel itu sekaligus menjadi pusat membeli belah terbesar di dunia. Burj Khalifa juga adalah bangunan yang paling banyak tingkat, lif yang paling tinggi dan lif yang paling laju dengan kelajuan 64km/j.
Pelbagai pandangan telah diberikan terhadap menara ini. Ada yang menyatakan bahawa ia adalah satu mercu tanda keajaiban seni ketukangan serta teknologi pembikinan manusia dalam pembinaan bangunan. Ada juga yang menyebut bahawa Burj Khalifa telah mengulangi tamadun hebat manusia dalam pembinaan di Asia Barat selepas piramid (Piramid paling tinggi ialah Cheo setinggi 146.6 meter di Giza) yang muncul sebagai binaan tertinggi empat alaf lalu.
Namun, sejauh mana menara tertinggi di dunia ini akan dapat membantu memulihkan ekonomi UAE masih samar-samar malah ada juga yang menjangkakan bahawa ekonomi negara padang pasir ini akan terus merudum.Krisis kewangan pada penghujung bulan November 2009 sebenarnya cukup parah namun diselamatkan oleh suntikan lebih RM 38 billion oleh negara jiran iaitu Abu Dhabi. Pada 25 November lalu, keadaan sampai ke kemuncaknya apabila konglomerat Dubai World mengumumkan ia perlu membekukan pembayaran balik hutangnya berjumlah AS$59 bilion (RM206.5 bilion).
Justeru yang menjadi kebimbangan saya setelah melihat keruncingan masalah ekonomi Dubai ini adalah sejauh mana persediaan kerajaan Malaysia untuk berhadapan dengan sasaran untuk menjadikan Iskandar Malaysia sebagai sebuah pusat pertumbuhan yang terbesar di rantau ini yang kawasan ini menyamai 2 setengah kali ganda keluasan Singapura.
Apakah IM juga akan berhadapan dengan krisis yang sama dengan Dubai kerana terlalu bersandarkan kepada pelabur daripada luar?
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
http://minda-kembara.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan