Aktivis Islam rancang adakan demonstrasi

Pertubuhan-pertubuhan Islam di Malaysia telah menyuarakan bantahan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Khamis lalu yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catolic Weekly menggunakan perkataan "Allah" dan merancang untuk mengadakan demonstrasi.

Setiausaha agung Pribumi Perkasa, Syed Hassan Syed Ali memberitahu AFP yang pihaknya merancang mengadakan satu demonstrasi besar untuk membantah keputusan mahkamah itu.

Katanya, beliau dan 50 aktivis Melayu telah mengadakan protes berhubung keputusan tersebut Jumaat lalu.

Syed Ali berkata, pihaknya bimbang keputusan mahkamah itu akan bermakna mubaligh Kristian kini boleh menggunakan kalimah Allah, dan menimbulkan kekeliruan (identiti) Muslim dan menjejaskan keharmonian beragama.

Sementara itu, penasihat gabungan pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican berkata, walaupun keputusan mahkamah itu dihormati, tetapi kerajaan perlu membuat rayuan.

"Kita mahu hidup aman dengan semua agama di sini tetapi kalimah "Allah" secara tradisinya telah digunakan untuk merujuk kepada Tuhan orang Islam, yang mana berbeza dari Kristian, dan ini mesti ditangani," katanya kepada AFP.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria pula dipetik dalam laporan
Utusan Malaysia sebagai menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai "satu penghinaan kepada umat Islam di negara ini.

Akhbar Herald dicetak dalam empat bahasa dengan pengedaran sebanyak 14,000 nashkah seminggu.

Sementara itu, Bernama melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata, JPM akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Beliau juga meminta semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan umat Islam di negara ini supaya bertenang dan menghormati keputusan mahkamah serta memberi peluang perkara itu diselesaikan melalui proses perundangan.


Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengambil langkah untuk mengadakan pertemuan dengan pihak NGO dalam masa terdekat bagi mendengar pandangan mereka dan membincangkan perkara ini selanjutnya, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 16 Februari lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan