Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 28 Jan: Jawatankuasa Kira-Kira Kewangan Awam (PAC) digesa supaya tidak bergantung hanya pada laporan hasil siasatan Kementerian Pertahanan dan Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) semata-mata berhubung siasatan kes kehilangan dua enjin jet F-5E.
Menurut Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, kebergantungan sedemikian sudah tentu menyukarkan PAC mengenal pasti saspek di kalangan Pegawai atasan sama ada dari Kementerian atau TUDM sendiri.
“Kalau sekadar mengharap maklumat daripada pegawai Kementerian (Pertahanan) dan TUDM, maka sudah pasti sukar untuk ditemui saspek di kalangan pegawai-pegawai atasan,” jelasnya.
“Mereka yang terbabit sudah tentu cuba menggelapkan maklumat dari dihidu oleh PAC.”
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena meminta PAC sekurang-kurangnya menjelaskan beberapa keraguan yang menjadi tanda tanya di kalangan rakyat.
“Persoalan yang rakyat nak tahu, siapa yang bertanggungjawab? Siapa yang menyelenggara (2 enjin tersebut)? Siapa pemerintah tertinggi di kem tempat kes kehilangan itu?” soal.
“Takkan sarjan dan prebet persendirian pula yang terbabit? Takkan prebet-prebet ini juga sebenarnya ‘Pemerintah Kem’ tersebut?”
Selain mempertikai cara pengendalian siasatan tersebut, beliau turut mengkritik kerajaan yang dilihat seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan rakyat..
“Kalau didedah adanya keterlibatan pegawai atasan TLDM dan mereka yang berkepentingan politik dalam parti-parti pemerintah mungkin, sudah tentu menjejaskan imej kerajaan,” jelasnya.
“Bagi saya ini, cara pemikiran sebegini pemikiran yang sempit para pemimpin UMNO BN.”
Ujarnya lagi, kerajaan sepatutnya mengambil sikap berani dalam membongkarkan skandal kehilangan dua enjin jet tersebut kerana dengan berbuat demikian ianya menguntungkan kerajaan.
“Dengan terbongkarnya mereka yang menyalahgunakan kuasa, sudah tentu kerajaan dan negara akan lebih dihormat rakyat,” jelasnya.
“Ini menguntungkan parti-parti pemerintah kerana rakyat sudah tentu tidak mahu kehilangan pemimpin dan kerajaan yang bersih, bebas dari amalan rasuah, adil dan berintegeriti.”
Terdahulu, beberapa media arus perdana melaporkan bahawa dua saspek dari kalangan pegawai TUDM berpangkat Sarjan ditangkap untuk membantu siasatan.
Menurut beberapa laporan media, dipercayai kedua-dua enjin tersebut telah pun dijual dalam pasaran gelap di luar negara.
Meneliti perkembangan kes tersebut, Mahfuz mendakwa motif kerajaan menolak cadangan untuk menubuhan suatu Suruhanjaya Di Raja yang bebas dan adil sebelum ini tidak mustahil demi melindungi mereka yang terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan