Muhammad Yusri Amin
KOTA BHARU, 13 Jan: Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menolak tuntutan royalti minyak kepada rakyat negeri ini dianggap mahu terus bersandiwara.
Ini kerana kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu seakan-akan menafikan keputusan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengakui Kelantan ada hak ke atas royalti minyak.
Ekoran kenyataan yang sering berdolak dalih itu, beliau diundang khas pada debat royalti minyak yang dijangka diadakan di Balai Islam, Lundang pada 13 Februari depan.
Program tersebut dianjurkan Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) bersama 50 badan bukan kerajaan (NGO) lain.
Pengerusi Gegar, Dr Abdul Halim Yusof berkata, empat tokoh yang dianggap proroyalti dan antiroyalti djemput khas bagi menghuraikan pendirian masing-masing.
Mereka iaitu Mustapa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, anggota parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub dan anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.
“Berdasarkan surat jemputan yang difakskan kepada mereka, kami difahamkan tokoh terbabit setuju untuk hadir dan mengambil bahagian,” katanya di sini.
Gegar merupakan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) berjuang bersama rakyat menuntut hak mendapatkan bayaran royalti minyak selaras dengan perjanjian dan undang-undang.
Mustapa sebelum ini menyebut kerajaan pusat tidak bercadang mengkaji tuntutan baru kerajaan Kelantan ke atas royalti minyak yang bersempadan dengan perairan Terengganu.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Dr Halim yang juga seorang pakar perubatan berkata, veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah bersetuju memberi penjelasan mengenai royalti minyak pada 28 Januari ini yang diadakan di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC) mulai jam 9.30 malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan