Rakyat dapat hidu pembohongan Zambry

Harakahdaily
IPOH, 13 Jan:
Rakyat dapat menghidu pembohongan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang sebenarnya tidak mencetuskan sebarang perubahan kecuali mengiktiraf dan meniru cara pemerintahan dan kepimpinan Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Mohd Nur Amin berkata, rakyat boleh menilai perbezaan pelaburan yang diterima negeri selama 11 bulan pemerintahan Pakatan Rakyat sebanyak RM770 juta pada 2008 berbanding kerajaan kudeta pada 2009 berjumlah RM608.66 juta.

Ini, katanya berlaku kerana rampasan kuasa pada awal Februari 2009 lalu menyebabkan pelabur tidak berani untuk melabur kerana kerajaan negeri yang ada tidak kukuh.

“Dengan suasana yang rakyat boleh lihat sekarang ialah ketidakmampuan pentadbiran kerajaan kudeta pimpinan Zambry untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi negeri di samping keangkuhan membelakangi mandat dan kepentingan rakyat hanya demi mempertahankan kuasa kudeta yang diperolehinya secara tidak demokratik,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.


Katanya, Pemuda PAS negeri Perak juga tidak terkejut dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh Zambry di dalam menguruskan pentadbiran kerajaan negeri dan menunjukkan perubahan yang berlainan dengan pentadbiran semasa pimpinan Nizar sebelum ini.

Menurutnya, semasa pimpinan Nizar, permasalahan Orang Asli turut menjadi agenda kerajaan negeri bagi menguruskan mereka dengan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kehidupan Sosio Masyarakat Orang Asli yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air serta Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Ngeh Koo Ham sebagai pengerusi.

“Pemuda PAS Perak melihat Zambry tersepit dengan tindakan-tindakannya bagi mengembalikan keyakinan rakyat Negeri Perak terhadap Umno/Barisan Nasional,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan