JHEOA Didakwa Jalankan Pembalakan Haram

Harapkan pagar, pagar makan padi.

Jabatan Hal Ehwal Orang Asli didakwa mendalangi pembalakan haram keatas 121.4 hektar tanah milik kerajaan negeri Selangor.

Sehubungan itu, kerajaan Selangor menggesa Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli memastikan perbuatan itu dihentikan kerana kerana tidak mendapat kelulusan Jabatan Perhutanan Negeri.

Ahli Exco Kerajaan Negeri Elizabeth Wong mendedahkan pembalakan haram oleh agensi persekutuan itu setelah beberapa individu ditahan dan 1,500 kayu balak di sita.

"Kita dah mengesan hampir 300 ekar tanah kerajaan negeri dibalak tanpa kebenaran kerajaan negeri Selangor dan juga Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, kebenaran yang diberi itu datangnya dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan sekarang kita mempertikaikan mengapa jabatan yang tidak ada apa-apa berkenaan pembalakan tanah kerajaan negeri masuk campur dan juga memberi kebenaran untuk orang luar untuk membalak di kawasan tersebut,” katanya.

Exco Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Exco Selangor di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.

Katanya kejadian ini bukan kali pertama berlaku di Selangor malah ia kerap berlaku yang melibatkan campur tangan kerajaan pusat.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan Jabatan Perhutanan Negeri menyerahkan perkara ini untuk siasatan lanjut pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Di daerah Hulu Selangor, di kaki bukit Genting, ini antara tanah kerajaan dan juga ada sikit Hutan Simpan Batang Kali tetapi kebanyakan sebenarnya di kawasan tanah Kerajaan Negeri,” katanya lagi.
-tvselangor-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan