Pas, BN perlu buang sentimen politik

KOTA BHARU: Pas dan Barisan Nasional (BN) diingatkan agar membuang sentimen politik dalam menyelesaikan isu tuntutan royalti minyak yang kini menjadi polemik yang kian meruncing.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohamad Agus Yussof berkata, pertikaian antara kedua-dua parti tidak menyelesaikan masalah malah merumitkan keadaan sekali gus merugikan rakyat di negeri Kelantan.

“Apa berlaku kini adalah satu undang-undang yang sama berkaitan royalti minyak tetapi ia ditafsirkan berbeza mengikut kefahaman masing-masing.

“Oleh itu jalan yang paling baik bagi menyelesaikan isu ini adalah melalui kaedah rundingan,” katanya kepada Sinar Harian.


Beliau berkata demikian ketika mengulas isu tuntutan royalti minyak yang menjadi polemik apabila Kerajaan Negeri Kelantan enggan mengiktiraf pemberian wang Ihsan yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan bahawa UMNO terlebih dahulu berpolitik dalam isu minyak apabila bertindak menyekat hak rakyat Kelantan.

Mengulas lanjut Agus mengakui bahawa kedua-dua parti akan memperoleh keuntungan politik dalam memperjuangkan tersebut.

“Dalam keadaan ini, Pas menjadikan isu ini sebagai medan untuk meraih simpati rakyat sekali gus meningkatkan popularitinya, manakala UMNO pula boleh berbakti dengan hasil pemberian wang tersebut.

“Oleh itu, masing-masing mendapat untung, tetapi akhirnya pihak mana yang disukai oleh rakyat bergantung pada kefahaman yang diberikan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau menyangkal bahawa isu minyak yang dimainkan oleh Pas akan menjadi beban kepada BN khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Katanya, rakyat lebih menilai kekuatan sesuatu parti berdasarkan khidmat yang diberi serta kuatnya sentimen parti itu kepada rakyat.

“Kita tidak boleh kata bahawa Pas sudah kuat dengan memainkan isu ini tetapi kita perlu ingat Pas juga mempunyai masalah tersendiri. Jadi isu royalti minyak bukan faktor kepada penyumbang kepada sokongan,” katanya.

Agus berkata, sekiranya jalan rundingan tidak menemui jalan noktah, maka adalah baik Kerajaan Negeri membawa isu terbabit dibawa ke mahkamah sekali gus menyelesaikan jalan yang ada dengan kaedah yang lebih sistematik.

-S/Harian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan