‘Penyatuan sumber’ boleh jayakan Sinergi Perdana

Dzulfikar Mashoor
GOMBAK, 25 Feb:
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pagi tadi meminta kerajaan menyatukan sumber yang ada pada Felda, Felcra, dan Risda secara komprehensif supaya hasrat menjana ekonomi berskala besar boleh direalisasikan kerajaan seperti yang dirancang kelak.

Permintaan Mahfuz itu sebagai mengulas cadangan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam, iaitu untuk menubuhkan Sinergi Perdana (SP), iaitu satu konsortium pertanian bermodalkan RM300 juta.

“Yang dikatakan penyatuan sumber (pooling of resources) ialah kilang-kilang pemerosesan minyak kelapa sawit, koko dan getah dikongsi secara bersama,” jelasnya.

Dengan menggunakan kaedah tersebut, menurut Mahfuz, sindrom perlaburan berganda (double investment) dalam mengumpulkan modal dan membina prasarana SP yang nyata merugikan wang rakyat boleh dielakkan oleh kerajaan.

“Kalau Felda sudah mempunyai kilang di tempat Pekan (iaitu kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tub Razak) untuk memproses kelapa sawit, maka Felcra dan Risda boleh menggunakan kilang dan sumber yang sama untuk memproses sumber mentah masing-masing.

“Ini lebih menjimatkan kos (dalam) membina prasarana dan pengurusan sumber sekali,” jelasnya.

Tambah Mahfuz lagi, dengan kaedah ‘penyatuan sumber’ tersebut sekaligus membolehkan kerajaan menggunakan konsep ‘hukum bilangan besar’ (law of large numbers) dalam aktiviti membeli keperluan asas aktibiti perladangan seperti baja dan jentera-jentera pertanian dapat diseragamkan dan menguntungkan rakyat.

“Kalau diguna ’law of large numbers’ ini bermakna SP boleh membeli baja untuk ketiga-tiga agensi tersebut, maka pembelian sudah tentu dalam jumlah yang lebih banyak.

“Kalau dah beli baja dan keperluan lain banyak-banyak itu, takkan dengan harga yang sama, tentu lebih murah sebab ada potongan diskaun,” jelasnya.

Bagi Mahfuz, tidak mustahil SP atau Konsortium Baja Nasional Bhd, yakni satu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh mempertimbang untuk mendirikan kilang-kilang bajanya sendiri kerana SP umumnya memerlukan lebih banyak baja seperti urea untuk pertanian berskala besar tersebut.

Melihat pada prospek sebegini, beliau berpandangan bahawa industri inovatif seperti menghasilkan baja tersebut boleh menembusi pasaran Asean sekurang-kurangnya.

“Dah ada kilang bajanya sendiri, takkan nak hasilkan baja untuk keperluan SP sahaja, mesti lihat prospek yang lebih besar seperti (pasaran) Asean,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mahfuz menasihatkan Shafie dan kementeriannya supaya mengubah paradigme dalam menghadapi cabaran globalisasi pertanian pada kurun ke-21 sekarang.

“OK, kita dah bangunkan SP sebagai sektor memproses bahan mentah. Kenapa tidak kita mengubah paradigme kita (supaya) sesuai dengan kurun ini (dengan) globalisasikan pertanian dan bahan mentah kita dengan meneroka pula industri pemorosesan dan pembuatan makanan,” jelasnya.

Mengambil contoh Nestle, iaitu syarikat pembuatan, pemerosesan dan pengedaran makanan global, Mahfuz mendedahkan bahawa syarikat dari Switzerland tersebut mencatat 'pulangan pendapatan' sebanyak USD75 Billion pada pada tahun 2007 sahaja sedangkan Nestle tidak mempunyai ladang dan bahan mentahnya sendiri.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan Shafie supaya penubuhan SP tersebut mesti memberi manfaat kepada kumpulan sasaran yang sebenar, iaitu peneroka, peserta dan pekerja yang terbabit menjayakan SP tersebut.

Beliau juga menasihatkan Shafie supaya tidak mengabaikan projek bernilai RM300 juta yang terperoleh dari wang rakyat.

“Jangan retorik dan buat konsep konsep saja. Selepas (majlis) perasmian dan tandatangan perjanjian dibuat (kemudiannya) dibiar sepi begitu sahaja,” nasihat beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan