Hazayani Zakaria & Foto: Zamzarina
KUALA LUMPUR,5 Jan: Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini sekali lagi mempertahankan tindakan beliau memberikan penerangan kepada rakyat mengenai Petronas dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 di Kelantan baru-baru ini.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li dalam satu sidang media di kediamannya petang tadi berkata, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia, bukan sahaja di Kelantan mengenai perjanjian yan dibuat di antara kerajaan negeri itu dengan Petronas di bawah Akta Pembangunan Petronas 1974 (PDA) sewaktu beliau menjadi pengerusi.
"Saya berasa gembira menghadiri majlis tersebut kerana saya berpeluang memberikan penerangan kepada rakyat berhubung perjanjian Petronas pada 1974 dahulu", katanya.
Ku Li yang juga Bekas Menteri Kewangan juga berkata, beliau hanya ingin menunaikan amanah Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang mahukan hasil minyak diagih-agihkan kepada negeri-negeri di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak jika terdapat minyak di persisiran pantai negeri berkenaan.
Ku Li juga kesal dengan keengganan kerajaan Barisan Nasional untuk mengagihkan hasil minyak kepada Terengganu dan Kelantan seperti yang diminta Tun Abdul Razak.
"Saya rasa sedih dan malu kerana amanah Allahyarham Tun Abdul razak seolah-olah dilupakan selepas 34 tahun pemergiannya.Beliau (Tun Abdul Razak) selalu memikirkan rakyat dan negeri-negeri yang miskin.Beliau mengarahkan saya untuk membuat perjanjian pada 1974 untuk memastikan rakyat dapat faedah dari hasil minyak itu, " katanya.
Ku Li pada 28 Januari lalu hadir memberikan penerangan mengenai Petronas dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 di Stadium Sultan Mohamad IV di Kota Bharu anjuran Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) yang dianggotai 52 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau yang juga tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Pusat untuk memberikan wang ehsan sebanyak RM20 juta kepada Kelantan berkata, rakyat kelantan berasa terhina dengan keputusan itu kerana mereka inginkan hak mereka dikembalikan.
"Rakyat Kelantan rasa terhina bila nak diberi 20 juta wang ehsan sedangkan syarikat rokok sponsor acara sukan pun 50, 100 juta. Ini pula untuk rakyat Kelantan yang lebih dari 1 juta penduduk.
"Guna duit minyak bagi wang ehsan, macam rakyat Kelantan ni Tok Pakir (Peminta sedekah)," jelasnya.
Selain itu, beliau mahu Petronas membuat perkara yang betul manakala Pengerusi Petronas yang baru dilantik juga diingatkan membuat perkara sama dalam tuntutan royalti ini.
"Saya berharap Pengerusi petronas yang baru dilantik dapat mengawasi petronas. Petronas perlu buat tindakan yang betul mengikut perjanjian,"katanya.
Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada Kerajaan negeri untuk mengambil tindakan seterusnya bagi memastikan hak royalti diberikan kepada rakyat negeri itu.
"Samaada Kerajaan negeri nak dakwa atau nak bawa ke mahkamah itu bukan bidang saya.Saya cuma nak menjelaskan perkara yang sebanar. Itu sahaja,"katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan