SAMM terbit buku kecil ‘hidupkan’ misteri pembunuhan Altantuya

PETALING JAYA, Feb 8: Buku berjudul “Di sebalik misteri pembunuhan Altantuya” — wanita Mongolia Altantuya Shariibuu yang dibunuh kira-kira empat tahun lalu secara senyap-senyap — mula diedarkan di seluruh negara.

Sebanyak 3,000 naskhah dikeluarkan sebagai cetakan pertama, tetapi ia tidak boleh diperoleh di kedai-kedai buku yang normal.

Sebaliknya, ia diedarkan menerusi pos atas pendekatan kenalan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) , sebuah gerakan muda bukan berstruktur yang menghimpunkan anak-anak muda Malaysia dari pelbagai latar, yang percaya akan keperluan bangkit dengan keberanian dan sepenuh daya mendesak perubahan.

Salah seorang anggota SAMM, Badrul Hisham Saharin memberitahu buku ini dikeluarkan kerana tidak mahu menganggap kes Altantuya sebagai kes pembunuhan biasa dan sudah berakhir.

“Ia perlu dirungkai kerana ia menggambarkan isu krisis kehakiman, persenjataan dan keselamatan negara, rasuah, kronisme dan seumpamanya yang semakin bejat dalam menghimpit hidup rakyat yang smemangnya terhimpit,” kata beliau.

Buku setebal 80 halaman ini menghimpunkan ringkasan peristiwa pembunuhan Altantuya dengan menyatakan latar belakang kes, terjemahan laporan akhbar Perancis, kenyataan penyiasat persendirian dan temu bual dengan P. Balasubramaniam.

Ia diakhiri dengan surat terbuka SAMM.

Muka depan dihiasi dengan wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Balasubramaniam dan kenyataan tertuduh-tertuduh kes pembunuhan Altantuya.

Ia dijual dengan harga RM13 senaskhah.

“Kes Altantuya belum tamat selagi mereka yang terbabit selain dari mereka yang membunuh dihumban ke penjara dan menerima hukuman setimbal,” kata Badrul yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat ketika ditemui di Rembau baru-baru ini.

Kata beliau, rancangan untuk menerbitkan buku itu sudah lama dimulakan tetapi tertangguh beberapa kali disebabkan masalah kewangan.

Urusan percetakan selesai fasa pertama akhir bulan lalu.

“Sehingga kini kami telah mengedarkan hampir 1,000 buku... sasaran kami ialah mereka bukan kalangan ahli PKR semata-mata, tetapi di luar lingkungan penyokong PKR,” katanya.

Menjawab soalan sebab perlunya mengeluarkan buku sedemikian, Badrul yang juga editor buku memberitahu, “ramai tertanya kenapa isu Altantuya menjadi pilihan kerana ia menjadi isu besar yang penuh misteri”.

Dalam kata-kata aluannya Badrul atau dikenali sebagai Che’guBard berkata, isu itu melibatkan imej negara.

“Isunya terkait sehingga perdana menteri dan persoalan keselamatan negara.

“Ramai yang masih tidak faham. Ketika beberapa teman dari SAMM ditahan kerana terlibat membangkitkan isu ini ada yang memandang sinis dengan persoalan kenapa perlu membela pelacur.

“Ada yang menyokong pula sehingga melihat isu ini isu skandal seks semata-mata. Namun ia jauh dari itu...,” kata beliau sambil menambah, ia dihasilkan semudah mungkin bagi pemahaman rakyat biasa.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan