ADUN Umno tarik balik sokongan

Kesemua enam ADUN Umno/BN menarik balik sokongan mereka terhadap usul berhubung isu royalti kepada Kelantan selepas usul awal yang dibentangkan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dipinda kemudiannya.

Ketika dihubungi
Malaysiakini petang ini, Mat Yusof Abdul Ghani (Umno/BN–Nenggiri) menjelaskan mereka menyokong usul untuk membawa isu royalti itu ke mahkamah.

Bagaimanapun, mereka menarik balik sokongan tersebut apabila pindaan dibuat terhadap usul tersebut, bagi memaksa Petronas membayar royalti yang dituntut oleh kerajaan negeri secepat mungkin.

Mat Yusof menegaskan demikian ketika diminta mengulas laporan lidah rasmi PAS -
Harakahdaily - bahawa usul tersebut diluluskan sebulat suara selepas turut disokong oleh semua ADUN Umno/BN.

lamanweb tersebut menyebut usul tersebut disokong oleh ketua pembangkang Umno/BN, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad (Umno/BN-Kok Lanas) dan Datuk Abdul Aziz Derashid (Umno/BN–Kuala Balah).

Manakala Datuk Nozula Mat Diah (Umno/BN–Paloh) dan Adhan Kechik (Umno/BN–Bukit Bunga) pula dilaporkan oleh Harakahdaily, tidak bangun. Datuk Noorzahidi Omar (Umno/BN–Pengkalan Kubur) pula tiada dalam dewan ketika itu.

Menjawab soalan, Mat Yusof berkata, keputusan untuk menyokong usul awal tersebut telah disepakati oleh keenam-enam ADUN Umno/BN berkenaan.

Perkara itu juga, tambahnya, telahpun dimaklumkan kepada badan perhubungan Umno negeri yang dipengerusikan oleh Datuk Mustapa Mohamed yang juga ahli parlimen Jeli.

Bagaimanapun, katanya, mereka memutuskan untuk tidak mengundi usul pindaan tersebut kerana ianya tidak sepertimana yang mereka persetujui sebelumnya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan