Bayar kepada kerajaan negeri: Kenyataan Tun Musa disambut baik

Muhammad Yusri Amin
KOTA BHARU, 20 Mac:
Kenyataan bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam yang menegaskan, pembayaran wang royalti atau wang ehsan dari Petronas perlu dibuat kepada kerajaan negeri bukannya pihak-pihak yang lain terus menekan Umno dan kerajaan negeri Kelantan menyambut baik kenyataan itu.

“Memang hak kerajaan negeri. Menurut Tun Musa, bahawa perjanjian mengenai royalti minyak Kelantan itu adalah jelas.

“Bagi saya, kenyataan Tun Musa itu adalah satu pandangan yang baik,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Karnival Bola Sepak Terbuka Kelantan di Padang Perdana di sini pagi semalam.

Tun Musa dalam wawancara yang disiarkan melalui Astro Awani menegaskan bahawa pembayaran wang royalti atau pun wang ehsan seharusnya diserahkan kepada kerajaan Kelantan untuk diuruskan selaras peruntukan undang-undang yang ada.

Wang tersebut mesti dikendalikan kerajaan negeri dan bukannya oleh Kerajaan Persekutuan dengan mewujudkan jawatankuasa khas mengenainya.

Kerajaan Pusat melalui Pengerusi Perhubunga Umno Negeri Kelantan, Datuk Mustapha Mohamad memberitahu, satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengendalikan pengagihan wang ehsan. Ekoran itu, kerajaan negeri Kelantan dijemput menghantar wakil untuk menyertai jawatankuasa itu namun ia ditolak oleh kerajaan negeri kerana tidak mengiktirafnya.

Kenyataan Tun Musa sekali lagi memberikan tekanan hebat terhadap Umno yang terus berkeras tidak mahu menyerahkan wang royalti petroleum kepada kerajaan negeri dan mahu mengendalikannya melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan yang dibentuknya.

Sebelum ini, anggota Parlimen Umno dari Gua Musang yang merupakan bekas pengerusi Petronas Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan, mengikut perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri Kelantan yang beliau sendiri tandatangani, wang tunai lima peratus dari hasil minyak yang diperolehi dari perairan Kelantan perlu dibayar kepada kerajaan negeri. Perjanjian itu pula tidak menghadkan tiga batu nautika sahaja tetapi seluruh perairan Kelantan.

Ini kerana, mengikut konsep persekutuan, tanpa negeri dimanalah persekutuan dan seluruh laut berdepan dengan sesebuah negeri dikira perairan negeri.

Namun sehingga kini, Umno bertegas tidak mahu berbuat demikian dengan alasan ia perlu dibayar jika petrol itu diambil di atas tanah atau sehingga tiga batu nautika sahaja dari pantai Kelantan. Pun begitu, ia berubah setiap masa. sebelum ini, tidak ada minyak diperolehi di perairan Kelantan. Kemudian ia berubah dengan ada dan Kelantan akan menerima wang ehsan bukan royalti.

Mula-mula RM20 juta diumumkan sebagai jumlah wang ehsan yang akan dibayar. Baru-baru ini, jumlah itu berubah pula kepada RM26 juta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan