Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia mewajibkan rakyat yang cukup umur 21 tahun supaya mendaftar diri sebagai pengundi. Jika tidak, maka mereka tidak boleh mengundi dalam Pilihanraya Umum (PRU) di Malaysia.
Malangnya ramai pengundi muda khususnya generasi ketiga selepas Kemederkaan Malaysia tidak berminat untuk mendaftar sebagai pengundi kerana pelbagai faktor: masa, fizikal, tahap patriotik, ketidaktelusan dalam PRU dan ugutan dalam PRU. Akibatnya jumlah pengundi berdaftar berkurangan apabila ramai pengundi lama telah mati dan sekaligus bilangan ini tidak mencerminkan demokrasi yang baik di Malaysia.
Satu penyelesaian yang terbaik ialah menjadikan semua rakyat Malaysia yang cukup umur 21 menjadi pengundi yang layak secara automatis. Ini bermakna mereka boleh mengundi dalam DUN dan Parlimen berdasarkan alamat dalam KP mereka yang didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).Dengan itu, buku daftar pemilih SPR boleh DIMANSUHKAN SELAMANYA kerana JPN boleh menerbitkan buku daftar pemilih baru yang lebih tepat. Dengan adanya buku daftar pemilih baru JPN ini, ia akan
- mengelakkan pertindihan nama atau no. KP pengundi di tempat yang berbeza tetapi dalam negeri yang sama mahupun negeri yang berbeza
- menunjukkan ketelusan dalam proses demokrasi melalui PRU
- tidak ada rakyat yang boleh mengundi lebih dari sekali
- tidak ada rakyat yang “sudah mati” boleh mengundi
- tidak ada rakyat asing atau pendatang asing yang memegang kad KP merah boleh mengundi
Jika tidak, PENGUNDI HANTU akan terus wujud kerana proses pengurusan dan pentadbiran PRU mengizinkan hal itu berlaku. UMNO dan BN akan menentang cadangan ini. Percayalah.
Mungkin timbul isu bahawa ada pengundi yang menggunakan alamat kampungnya di dalam KP , misalnya di Terengganu, tidak boleh mengundi di tempat dia bekerja di Kuala Lumpur.
Isu ini boleh diselesaikan secara mudah dengan adanya teknologi canggih hari ini. SPR dengan kerjasama JPN hanya perlu melakukan pengesahan kelayakan pengundi yang mahu mengundi di luar kawasan (berbeza dengan alamat dalam KP) mereka.
Dengan yang demikian, buku induk daftar pemilih yang baru hanya ada maklumat seperti dibawah
– nama, no. KP, alamat, tempat mengundi
Parti politik bertanding boleh mendapatkan buku induk ini dan memastikan tidak ada pertindihan nama dan no. KP serta tidak ada orang yang akan mengundi dua kali. Jika kerajaaan mahu PRU yang TELUS, AMANAH dan PROFESIONAL, maka perkara ini harus dipastikan berlaku.
Kalau kerajaan mahukan PRU yang LEBIH TELUS, LEBIH AMANAH dan LEBIH PROFESIONAL, maka setiap pengundi yang telah mengundi membasahkan salah satu jari mereka dengan dakwat khas seperti yang diamalkan oleh negara lain bagi menjamin PRU yang TELUS, AMANAH dan PROFESIONAL . Tapi UMNO-BN akan menentang cadangan ini. Percayalah.
Sebelum ini, PRU di Malaysia dianggap TIDAK TELUS, TIDAK AMANAH, dan TIDAK PROFESIONAL kerana terdapat lubang-lubang yang boleh membawa kepada penipuan, rasuah, dan penyelewengan dalam buku daftar pemilih.
Kita perlu faham bahawa buku daftar pemilih hanyalah satu daripada banyak perkara dalam PRU yang boleh diselewengkan.
Perkara lain yang terdedah kepada penipuan, rasuah, dan penyelewengan yang belum dibincangkan dalam artikel ini ialah
a. proses pencalonan
b. hak berkempen dan penggunaan tempat lapang awam
c. proses mengundi
d. penggunaan jentera, duit, bangunan kerajaan oleh parti yang pemerintah semasa musim PRU dan selepas Parlimen dibubarkan
e. proses mengira undi
f. kempen dalam media arus perdana
g. hari mengundi
dan lain-lain yang pembaca boleh tolong senaraikan dan bincangkan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan