Hanya 22% orang Cina di Malaysia yang menganggap bahawa MCA relevan, berbanding 28% yang berkata tidak dan agak tidak relevan, sementara 45% memilih jawapan agak (somewhat) relevan. Demikianlah hasilnya menurut satu soal selidik yang dikendalikan oleh Merdeka Center, yang mengutip pandangan daripada orang awam.
Walaupun laporan soal selidik tersebut berjudul "Kebanyakan Cina menganggap MCA masih relevan, cuma mempunyai perasaan berbaur terhadap pemilihan semula", tetapi pada hakikatnya, responden keturunan Cina yang menganggap MCA masih relevan hanyalah 22%.
Ketika menjawab soalan "Adakah MCA masih relevan kepada masyarakat Cina hari ini?" dalam soal selidik tersebut, hanya 22% responden Cina bersetuju, dan 45% menjawab "agak relevan"; di samping 9% berkata "tidak relevan" dan 20% berkata "agak tidak relevan". 4% yang selebihnya menjawab tidak tahu atau tiada maklum balas.
Penilaian kaum bukan-Cina terhadap MCA lebih rendah, iaitu 14% Melayu yang menganggap MCA masih relevan terhadap masyarakat Cina, sebanyak 33% menganggap MCA tidak relevan dan agak tidak relevan, sementara 46% memilih "agak relevan" (somewhat) terhadap masyarakat Cina.
Ong Ka Ting menduduki kedudukan ke-4
Antara pemimpin MCA, Menteri Pengangkatan yang menjalankan siasatan terhadap skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Ong Tee Keat berada pada kedudukan teratas. Seramai 34% orang responden (30% Cina, 36% Melayu, 36% India) menganggap Ong Tee Keat berkemampuan untuk memimpin MCA, disusuli Liow Tiong Lai (Menteri Kesihatan) dengan 16% (10% Cina, 18% Melayu, 18% India).
Chua Soi Lek berada pada tempat ketiga dengan 12% responden (12%Cina, 12% Melayu, 12% India) yang menyetujui kemampuannya, sementara bekas Presiden MCA Ong Ka Ting yang kembali bertanding berada pada kedudukan keempat, dengan hanya 10% responden (15% Cina, 8% Melayu, 8% India) menyetujui kemampuannya untuk memimpin MCA.
Soal selidik turut mengumpul pandangan samada Ong Tee Keat, Chua Soi Lek dan Ong Ka Ting harus menarik diri dari pemilihan semula, lebih daripada 60% responden menganggap Ong Tee Keat (65%) dan Ong Ka Ting (63%) harus bertanding, tetapi hanya 50% responden yang bersetuju bahawa Chua Soi Lek harus bertanding.
Ketika ditanya pandangan terhadap pemimpin perseorangan, 60% responden Cina menganggap Ong Tee Keat (gambar kanan) harus bertanding, 24% menganggap beliau harus berundur, 13% memberi jawapan tidak tahu dan 3% tidak menjawab. Apa yang menarik, peratusan Melayu dan India yang menyetujui agar Ong Tee Keat tampil bertanding lebih tinggi daripada Cina, dengan Melayu 68% dan India 70%. Sebaliknya, 16% Melayu dan 14% India menganggap Ong Tee Keat harus berundur.
Untuk Chua Soi Lek pula, terdapat 47% Cina, 47% Melayu dan 63% India menganggap beliau harus bertanding, di samping 38% Cina, 35% Melayu dan 20% India menganggap beliau harus berundur.
Lebih daripada 69% Melayu menganggap Ong Ka Ting (gambar kanan) harus bertanding, Cina dan India yang berkongsi pandangan ini hanya 57% dan 64% masing-masing. Sementara itu, 28% Cina, 13% Melayu dan 18% India menganggap Ong Ka Ting harus berundur.
Kebanyakan orang masih mengikuti perkembangan MCA
Berbeza dengan pemerhatian sesetengah penganalisa politik yang menganggap masyarakat sudah mual dengan berita MCA, kebanyakan Cina, Melayu dan India masih mengikuti perkembangan MCA. Media disarat dengan berita MCA, menjurus kepada 75% responden yang berkata mereka mengikuti perkembangan parti komponen BN kedua terbesar itu. 73% Melayu, 82% Cina dan 62% India mengakui bahawa mereka mengikuti perkembangan MCA.
Ketika ditanya sejauh manakah mereka mengikuti perkembangan MCA, 23% daripada 202 orang responden Cina berkata "tidak kerap", 31% berkata "kadang-kala", 28% berkata "selalu", dan 18% menjawab "tidak tahu". Daripada 352 orang responden Melayu, hanya 21% mengikuti perkembangan MCA, 27% menjawab tidak tahu. Apa yang menarik, daripada 47 orang responden India, 38% berkata "tidak tahu".
Kebanyakan responden menganggap bahawa kekalahan dalam PRU ke-12 merupakan punca kemelut parti, dengan 25% Cina, 41% Melayu dan 45% India berkongsi pandangan bahawa kedudukan MCA menjadi lemah selepas dilanda "tsunami politik". 22% Cina, 12% Melayu dan 9% India menganggap pendedahan skandal PKFZ adalah punca utama pergelutan MCA, di samping 17% Cina, 17% Melayu dan 18% India melihat pemecatan Chua Soi Lek (gambar kanan) berikutan skandal seksnya sebagai punca utama kemelut MCA.
Apabila diajukan soalan apakah ciri-ciri pimpinan MCA yang diharapkan, 13% responden mahu pemimpin tampil untuk menyuarakan pandangan ketika berdepan dengan isu penting; diikuti kejujuran 9%, adil dan demokratik 8%, pimpinan yang baik 8%, bekerjasama dan bersatu padu 6%, berdaya saing 6%, bersih, beretika dan bermoral 5%.
805 orang responden
Sampel responden soal selidik ini dipilih secara rambang oleh Merdeka Center. Seramai 805 orang yang berusia 21 tahun ke atas dipilih dari semenanjung Malaysia dan soal selidik dijalankan melalui panggilan telefon.
Soal selidik dijalankan antara 17 hingga 23 Mac 2010, dengan ralat kira-kira 3.50%. Isu yang berlaku ketika soal selidik ini dijalankan termasuklah pencalonan pemilihan semula MCA, persidangan parlimen ke-12 penggal ketiga, perhimpunan orang asli di Putrajaya, dan pertikaian antara TNB dengan penduduk Rawang.
Menurut hasil kajian Merdeka Center, responden terdiri daripada Melayu (60%), Cina (30%), India (9%) dan lain-lain (1%). Pada masa yang sama, responden terdiri daripada 61% muslim, 21% Buddist, 8% Hindu dan 5% kristian.
Sampel responden yang berusia antara 21 hingga 60 tahun ini kebanyakannya dari golongan muda, dengan 47% yang taraf pendidikannya tamat pengajian sekolah menengah. 58% terdiri daripada penduduk bandar dan 42% terdiri daripada penduduk kampung.
Selain itu, lebih daripada 50% responden tidak berpengalaman akses kepada internet, hampir 50% responden tidak bekerja dan 36% responden yang mempunyai pendapatan keluarga kurang daripada RM1,500.
*Laporan daripada MerdekaReview.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan