Zaid Ibrahim
Dua kes perkahwinan kanak-kanak perempuan berumur 10 dan 11 tahun dengan lelaki berumur lebih 40 tahun telah sekali lagi menimbulkan persoalan tentang siapakah yang bertanggungjawab menjaga kepentingan agama dan orang Islam di negara kita ini. Dari aspek menyuarakan slogan dan retorik garang, sudah tentu ada. Ramai yang sanggup menggadai nyawa membela Islam. Tetapi apakah mereka ini akan membela nasib anak anak kecil yang dikahwinkan atau mereka hanya memilih isu isu "mudah dan sensasi".
Contohnya, ramai yang rasa tersinggung bila orang Kristian menggunakan kalimah "Allah" dalam akhbar mereka. Tapi yang anehnya, wira-wira ini tak pula kedengaran marah mereka sebelum kes akhbar Herald itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi akhir tahun lalu. Walhal larangan penggunaan kalimah itu dalam majalah tersebut telah dibuat pada tahun 2007. Dengan lain perkataan, sebelum bekas menteri Syed Hamid Albar mengiystiharkan larangan itu, berpuluh-puluh tahun lamanya kalimah "Allah" telah digunakan di Sabah dan Sarawak tanpa sesiapa pun naik marah dan tersinggung. Apakah ini bukan hipokrasi?Sekarang biar kita tunggu siapa yang terasa tersinggung dan marah melihat kes dua anak-anak kecil yang sepatutnya belajar A,B, C dan matematik di sekolah rendah tetapi telah dikahwinkan dengan dua orang "tua" yang berumur lebih 40 tahun. Sekarang kita tunggu siapa yang akan marah dan akan mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran menentang kes yang melebihi 10,000 kesemuanya (mengikut sumber tertentu) melibatkan kes perkahwinan kanak-kanak di Malaysia.
Apakah ia akan terjadi atau besar kemungkinan kita tidak akan mendengar apa-apa rungutan. Malah orang macam saya akan dihentam kerana menimbulkan isu ini, kononnya Islam membenarkan anak-anak kecil dikahwinkan. Jadi tak ada siapa yang patut mempersoalkan perkara ini, kata mereka.
Saya minta maaf. Anak-anak kecil hingusan yang belum tahu ikat tali kasut, yang belum layak tandatangan kontrak, yang belum boleh ada lesen motosikal atau kereta, yang tidak sampai 18 tahun; hanya semata-mata sudah sampai haid, tidak sepatutnya dibenarkan berkahwin. Tidak adil dan dikira kejam terhadap anak-anak kecil ini. Mereka ada hak untuk mengalami hidup sebagai kanak-kanak sebaya, bermain, bergembira, berlari ke sana-sini, bersekolah dan banyak lagi yang sepatutnya dinikmati oleh anak-anak kecil. Apabila tiba zaman remaja atau lebih baik bila dewasa nanti, akan timbul naluri semulajadi untuk kahwin. Tidak perlu mengikut tradisi lama.
Usahlah beri alasan Rasulullah S.A.W. berkahwin dengan Sayidina Aishah waktu berusia 9 tahun. Janganlah samakan diri kita dengan Perutusan Allah yang mendapat wahyu dari Yang Maha Esa. Baginda adalah Rasul tetapi kita hanyalah manusia biasa. Manusia biasa akan menyalahkan kebebasan ini. Ada ramai juga pada masa ini merupakan pengganas seks atau "paedophilia" seks. Undang-undang negara kita mestilah melindungi anak-anak kecil dari penyangak seks dan "peodophile" ini yang suka mencabul kehormatan kanak-kanak.
Hari ini kita sangat bimbang dengan pengaruh internet yang dikatakan lucah; kita bimbang dengan kes seks remaja dan sebagainya. Bukankah sampai masanya kita melindungi anak-anak kecil ini daripada pesalah laku yang liar ini?
Perlu kita ingat bahawa pada zaman Rasulullah dahulu ada sistem hamba abadi. Rasulullah tidak memiliki hamba, tetapi Baginda tidak melarangnya. Itu tidak bererti kita pun kena amalkan sistem hamba abdi semata-mata kerana ia wujud dalam zaman Rasulullah. Ini bukan bererti Islam tak sesuai; yang tak sesuai adalah sistem hamba abdi. Islam itu untuk sepanjang masa. Kalau pun zaman dulu orang Arab boleh kahwin anak muda, amalan itu sudah tidak sesuai lagi pada zaman ini. Takkanlah ini pun susah untuk difahami?
Begitulah juga tanggungjawab kita kepada masyarakat, nasional dan dunia luar. Selain menjaga keselamatan anak-anak kecil, kita juga telah banyak menandatangani memorandum Konvensyen dan Undang-Undang Antarabangsa yang melarang perkahwinan anak kecil atau "child marriages". Apa guna kita tandatangani Convention on Elimination Of All Frorms of Discrimination (CEDAW) dan "Convention of the Rights of the Child" dan banyak lagi konvensyen antarabangsa kalau kita takut berdepan dengan wira-wira agama, Jakim dan Jabatan Agama Islam negeri. Saya harap Ketua Agama Islam, iaitu Raja-Raja Melayu, mengambil berat tentang soal kahwin kanak-kanak ini. Sekali lagi kita menjadi perhatian serong dunia dan kita perlu bertindak serta merta.
*Tulisan ini dipetik dan disunting daripada blog Zaid Ibrahim, bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri yang kini menyertai Pakatan Rakyat.
-detikdaily-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan