Kemiskinan Berpunca Dari Pemerintah Yang Boros

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyalahkan permasalahan kemiskinan dan jurang pendapatan meluas kepada sikap boros pemerintah membelanjakan harta minyak dan gas negara.

Anwar berkata keuntungan Petronas seharusnya digunakan untuk mengangkat pembangunan prasarana, pendidikan dan kesihatan.

Sebaliknya kerajaan rakus memerah Petronas untuk menjana projek-projek mega yang menguntungkan kroni semata-mata.

Mantan Timbalan Perdana Menteri itu mengatakan buktinya dapat dilihat dari kadar perbelanjaan yang membengkak dalam 10 tahun ini.

"Bagi tahun berakhir 31 Disember 2007 dan 31 Disember 2008, PETRONAS menyumbang sebanyak 36.8% dan 44.9% kepada jumlah keseluruhan pendapatan kerajaan. Jika diambil kira hasil cukai dan duti dari syarikat minyak yang lain, Malaysia sebenarnya bergantung lebih 50% kepada hasil minyak semata-mata."

"Walaupun pendapatan dari PETRONAS sangat lumayan dalam tahun 2007 dan 2008, kerajaan terus berbelanja dengan boros dan mencatatkan defisit belanjawan."

Anwar berkata tren semasa menunjukan pelaburan ke negari menurun ekoran ketidakyakinan pelabur kepada kepimpinan negara hari ini.

Kerajaan seharusnya lebih berwaspada dan menguruskan perbelanjaan dengan lebih cermat sebaik sahaja mengetahui pertumbuhan negara dari 2000 hingga 2006 mencatatkan sekadar 1 peratus sahaja.

Anwar tidak faham mengapa kerajaan berbangga dengan pelaburan swasta mencecah RM33 pada tahun 2006, walhal jumlah itu jauh lebih rendah dari pelaburan swasta pada 1991.

"Kesan yang tidak dirancang akibat dasar tidak bertanggungjawab yang membelanjakan wang rakyat sejak 1998 ini; adalah wujudnya jurang di antara pelaburan swasta dan pelaburan kerajaan yang semakin membesar. Ini menimbulkan keraguan sama ada kerajaan mampu meneruskan pendekatan ini yang melonjakkan pertumbuhan ekonomi dengan berbelanja secara besar-besaran; terutamanya apabila hasil minyak semakin berkurangan."
-tvselangor-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan