Krisis MCA: "Ong"kah Ong Lwn Ong?

Kadir Jasin
BEKAS Presiden MCA, Ong Ka Ting, dikatakan akan masuk gelanggang semula manakala Ong Tee Keat akan pertahankan jawatannya.

Gara-gara Ong Ka Ting lawan Ong Tee Keat ini cukup menarik. Peluang dan risiko sama besar dan sama berat.

Ong Tee Keat mustahil akan berpakat dengan bekas Timbalan Presiden, Dr Chua Soi Lek. Sebaliknya adalah pelik kalau Dr Chua Soi Lek tidak cuba rebut jawatan daripada Ong Tee Keat.

Ong Tee Keat dan Dr Chua musuh ketat. Dari awal lagi Ong Tee Keat tidak mahukan Dr Chua Soi Lek. Itulah pun punca pecah-belah dalam parti Cina Barisan Nasional itu.

Tetapi ada ura-ura yang dua musuh itu akan berpakat untuk menyekat Ong Ka Ting kalau dia benar-benar bertanding.

Soalnya, adakah perlawanan Ong dengan Ong ini akan membawa “ong” (tuah) kepada Persatuan Cina Malaysia atau memburukkan lagi nasib buruknya?

Ong Ka Ting kata, dia keluar daripada persaraan untuk menyelamatkan MCA. Ong Tee Keat kata, dia berhak mempertahankan jawatannya.

Ong Ka Chuan, saudara darah daging Ong Ka Ting kata, kepulangan saudara kandungnya itu meluaskan lagi pilihan perwakilan.

Soalnya, apakah akan muncul semula abang-adik Ka Ting dan Ka Chuan itu nanti akan menenteramkan keadaan atau menambah kekacauan?

Ong Ka Chuan tentu tidak mahu lepas peluang mengekang harapan Dr Chua Soi Lek yang mengalahkannya dalam pertandingan Timbalan Presiden dua tahun lalu.

Pepatah Cina berkata, tidak mungkin dua ekor harimau (jantan) boleh berkongsi sebuah bukit (melainkan di bukit kenang-kenangan macam Bukit Cina).

Menyebut Bukit Cina, teringat saya kepada Allahyarham datuk saya, seorang haji, yang menyertai perarakan jenazah kawan-kawan Cinanya atas semangat kejiranan dan kerakanan.

Dr Chua, yang tidak syak lagi harimau jantan hebat, tentu tidak akan membiarkan harimau lain berkongsi bukit dengannya.

Kalau ada calon yang layak menggunakan lambang harimau, orang itu tidak lain tidak bukan adalah Dr Chua dari Batu Pahat.

Meminjam ungkapan kegemaran Ali G (alter ego pelawak Inggeris, Baron Sasha Cohen) saya “respect” Dr Chua. Dalam bahasa basahan, kita kata tabik spring.

Apa tidaknya. Walaupun disekat dan disensasikan sebagai pelaku seks bebas, namun dia menang besar jawatan Timbalan Presiden pada tahun 2008.

Jadi, siapakah agaknya yang akan menjadi Wu Song, pembunuh harimau tersohor dalam cerita rakyat Cina, untuk menyembelih Dr Chua?

Sedikit lagi mengenai Wu Song. Walaupun dia seorang pemabuk, tetapi hatinya mulia. Selain membunuh harimau, dia juga membunuh kakak ipar dan kekasih kakak iparnya bagi membela kematian abangnya yang dikhianati.

Ironinya, kerana wira rakyat macam Wu Songlah, hampir habis harimau di Negeri China dibunuh dan dimakan. Menurut stesen televisyen Discovery Channel, tidak sampai 50 ekor harimau liar tinggal di Negeri China.

Harimau dilindungi di Negeri China manakala undang-undang sedang diperkenalkan untuk mengharamkan anjing dan kucing daripada dijadikan makanan.

Berbalik kepada pertandingan baru MCA, ramalan oleh akhbar Nanyang Siang Pau meletakkan Dr Chua di hadapan Ong Tee Keat dan Ong Ka Ting. Pemecahan undi 2,400 perwakilan oleh dua Ong diramalkan memberi kelebihan kepada Dr Chua.

Soalnya, bolehkah sesiapa pun yang memenangi pertandingan tiga penjuru ini menjadi presiden yang kuat, dihormati dan boleh menyatupadukan semula MCA atau parti itu akan berpecah tiga?

MCA memerlukan kepemimpinan yang kuat dan dihormati kawan serta lawan. Pencabar MCA adalah DAP dan sedikit sebanyak, PKR.

Perbezaan antara MCA dengan DAP ialah MCA demokratik dan DAP autokratik. Lazimnya, parti Cina atau yang majoriti penyokongnya orang Cina lebih kuat apabila ketuanya autokratik macam Lim Kit Siang atau Lee Kuan Yew di Singapura.

Sebab itulah Negeri China bersedia membebaskan sistem ekonomi, tetapi tetap mempertahankan sistem satu parti. Pemimpin Singapura dan China sudah nampak betapa kacau-bilaunya Taiwan apabila didemokrasikan – bertumbuk dan berkuntau tidak habis-habis dalam Parlimen.

Situasi di Negeri China, 99 tahun selepas direpublikkan, masih jauh tersimpang daripada “Tiga Prinsip Rakyat” (Three Principles of the People) yang diidamkan oleh pengasasnya Dr Sun Yat-Sen iaitu nasionalisme, demokrasi dan kehidupan rakyat.
http://kadirjasin.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan