Pemangku Raja terus laksana tugas hal ehwal negeri

Yusri Amin
KOTA BHARU, 13 Mac:
Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra akan terus melaksanakan tugas berkaitan dengan hal ehwal negeri sehingga Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra sembuh sepenuhnya daripada kegeringan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata Sultan Kelantan masih lagi menjalani rawatan susulan di Kota Bharu.

“Baginda masih lagi tidak berupaya untuk menjalankan tugas-tugas mengenai hal ehwal negeri sebagaimana yang diperuntukkan dalam Artikel 22A Undang-Undang Tubuh Perlembagaan Kerajaan Kelantan, Bahagian Ke-2,” katanya pada sidang media di Pejabat Sultan, Istana Balai Besar, di sini pagi ini.

“Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra akan menjalankan tugasnya sebagai pemerintah atau Yang Dipertuan Negeri sehinggalah Baginda Al-Sultan sembuh dari kegeringan,” katanya.

Sementara itu, pihak Istana Kelantan menolak dari mengeluarkan sebarang kenyataan membabitkan Raja Perempuan, Tengku Anis binti Al-Marhum Tengku Abdul Hamid dengan isteri kedua Sultan Kelantan, Elia Suhana Ahmad.

“Ini kerana kes tersebut membabitkan hal peribadi Baginda Al-Sultan yang mana Baginda Al-Sultan akan menguruskannya sendiri apabila baginda sembuh dari kegeringan,” katanya.

Pengelola Istana Diraja turut menjelaskan bahawa Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Petra tidak mempunyai sebarang kuasa dalam undang-undang (authority in law) mengikut Perlembagaan Negeri Kelantan.

“Beliau juga tidak boleh bertindak bagi pihak Baginda Al-Sultan semasa kegeringan Baginda dan/atau melaksanakan kuasa-kuasa sebagai Pemerintah sebagaimana yang disebut dalam Perlembagaan Negeri.

“Sebagaimana yang disebutkan dalam Perlembaaan Negeri, hanya Yang Maha Mulia Pemangku Raja yang berhak melaksanakan tugas sebagai Pemerintah sehingga Baginda Al-Sultan sembuh dari kegeringan,” tegasnya.

Selain dari itu, beliau menjelaskan pihak Istana Kelantan buat masa ini tidak akan membuat sebarang kenyataan berkaitan pertelingkahan (yang berlaku) di antara Tengku Temenggong dengan Pemangku Raja dan kerajaan negeri berkaitan dengan ‘pembuangan’ Tengku Temenggong daripada Majlis Perajaan Negeri pada 16 September 2009.

“Buat masa sekarang, kes berkaitan masih lagi di peringkat Mahkamah Rayuan bagi menafikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui ‘Juducial Review Application No. R3-25-379-2009’ kerana Tengku Temenggong Kelantan merasakan beliau mempunyai asas untuk berbuat demikian,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan