Penubuhan Petronas Mungkin Tidak Sah

addin_77
Kewujudan firma minyak negara Petronas kemungkinan tidak sah kerana undang-undang penubuhannya telah diluluskan sebelum ia menandatangani perjanjian dengan semua negeri, kata profesor undang-undang Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.Saya merasakan beberapa aspek dalam akta Petronas adalah tidak sah,kata Shad pada forum berkaitan dengan hak minyak di sini hari ini.

Di bawah perjanjian yang ditandatangani pertengahan 1970-an semua negeri telah dijanjikan bayaran tunai lima peratus ke atas minyak yang dikeluarkan di pesisir pantai atau di luar pesisir pantai sebagai balasan kepada penyerahan hak kawalan ke atas sumber-sumber petroleum kepada Petronas. Shad berkata, akta itu diluluskan sebelum kesemua negeri menandatangani perjanjian dimaksudkan.

“Perlembagaan mengatakan bahawa apabila seseorang mengambil harta seseorang anda perlu membayar pampasan yang sewajarnya,” kata beliau. Peguam Tommy Thomas yang mewakili kerajaan Terengganu dalam tuntutan royalti minyak bagaimanapun berkata jika Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 diisytiharkan tidak berperlembagaan akan mengakibatkan malapetaka besar buat Petronas.

Terengganu membawa kesnya ke mahkamah selepas kerajaan pusat berhenti daripada membawa wang royalti pada 2000.“Masalah pertama dengan hujah itu ialah Petronas akan menjadi tidak sahih,” kata Thomas sambil menambah belum ada pihak yang membawa persoalan ini ke mahkamah.“Jika mahkamah memutuskan akta ini tidak berperlembagaan, saya merasakan ia akan menjadi satu tragedi,” katanya.

Thomas juga memberitahu kesemua 13 negeri telah menandatangani perjanjian itu. “Bagi saya PDA satu contoh persekutuan yang hebat,” katanya. Thomas kini menasihati Kelantan yang turut mengemukakan tuntutan royalti minyak daripada Petronas. Tuntutan RM2 bilion Kelantan itu bermula tahun lalu. Forum hari ini bertajuk “Royalti Minyak: Satu Hak Perlembagaan?” dianjurkan oleh Majlis Peguam untuk membincangkan aspek perlembagaan bayaran wang royalti kepada negeri-negeri yang mengeluarkan minyak.

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang juga pengasas dan bekas pengerusi Petronas dan peguam Datuk Cecil Abraham juga berucap pada forum itu. Kelantan kini menuntut wang royalti lima peratus terhadap hasil minyak yang diperoleh di luar pesisir pantai. Bagaimanapun Putrajaya menegaskan ia tidak berhak untuk mendapatkan wang royalti ke atas minyak dan gas yang diperoleh di luar kawasan tiga batu nautika dari pantai. Sebaliknya kerajaan pusat hanya bersedia memberi wang ihsan RM20 juta, yang diagihkan mulai bulan ini.

http://addin77.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan