Persatuan Pegawai Tadbir dokong Pemangku Raja

Atiff Idris
KOTA BHARU, 17 Mac:
Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan (PPTN) menyatakan pendirian, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra adalah pemerintah yang sah bagi negeri Kelantan berikutan pelantikan baginda sebagai Pemangku Raja.

Presiden persatuan terbabit, Shafei Ismail berkata, pendirian PPTN adalah selari dengan peruntukan undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan.

“Oleh yang demikian PPTN dan seluruh ahli akan patuh dan menjunjung titah perintah Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan sahaja.

“Persatuan PTN dan rakyat Negeri Kelantan merasa amat bertuah berada di bawah pemerintahan Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan,” katanya pada sidang media di Rumah Pegawai Tadbir Negeri (PTN) di sini petang semalam.

Bagaimanapun Shafei berkata, PPTN juga menzahirkan taat setia dan kepatuhan yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Al-Sultan Kelantan.

Oleh itu beliau berkata, pihaknya amat kesal dan kecewa di atas penyebaran risalah-risalah dan penulisan dalam blog-blog yang memburuk-burukkan pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, perbuatan tersebut bermotifkan kepentingan individu dan pihak yang mempunyai agenda tertentu.

“Demi kepentingan rakyat Kelantan PPTN menyarankan agar tiada mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan pada masa ini khususnya cubaan untuk menimbulkan keadaan kurang harmoni di antara pihak istana, pemimpin kerajaan negeri, pegawai-pegawai kerajaan serta rakyat jelata.

“Ahli-ahli PPTN akan sentiasa patuh dengan titah perintah Pemangku Raja Kelantan, pemimpin-pemimpin kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kanan dalam melaksanakan dasar, tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan berlandaskan nilai-nilai teras ‘Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) sentiasa mendoakan semoga Sultan dan Pemangku Raja Kelantan akan beroleh kesihatan dan kesejahteraan daripada Allah s.w.t.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan