Royalti Minyak: Mohd Najib Lwn Ku Li

A Kadir Jasin

PRESIDEN Umno Mohd Najib Abdul Razak pada 25 Februari berkata dia menyerahkan kepada keahlian parti memutuskan jika tindakan perlu diambil ke atas Tengku Razaleigh Hamzah.

Tindakan Ku Li menentang dasar kerajaan pusat mengenai tuntutan royalti minyak/gas oleh kerajaan Kelantan dilaporkan mendapat bantahan beberapa orang ahli Majlis Tertinggi Umno. Mereka mempersoalkan “kekebalan” bekas Naib Presiden Unmo itu.

Mohd Najib menyatakan pendirian itu ketika ditekan oleh pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MT.

Nampaknya, Mohd Najib sama ada mahu mencari jalan selamat mengelakkan konfrontasi dengan Ku Li atau dia mahu ahli Umno membantunya menamatkan riwayat politik Ku Li.

Umno sudah biasa dengan taktik main selamat Mohd Najib. Tetapi perlu disebutkan juga yang Ku Li telah mencuba menyekat Mohd Najib daripada mengisi jawatan presiden dalam pemilihan Umno tahun lalu tetapi gagal.

Sebagai veteran terakhir Umno yang masih cergas dalam politik dan mewakili sebuah kerusi Parlimen, Ku Li mungkin berasa dia tidak akan rugi apa-apa dengan tindakannya itu.

Kalau dia dikenakan tindakan oleh Umno, dia tetap akan menjadi hero kepada sesetengah orang dan pihak. Bagi ahli dan penyokong Umno Kelantan, isu ini umpama telan mati ibu, luah mati bapa.

Tetapi sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, Mohd Najib tidak boleh berdiam diri membenarkan seorang ahli parti menentang dasar parti dan kerajaan secara terbuka, apatah lagi di saat-saat Umno dilihat sebagai sedang mengalami pemulihan dan pembangkang semakin kelam-kabut.

Serentak itu Umno dan Pas berdepan dengan kepelbagaian suara Melayu/Islam yang semakin lantang dengan penubuhan Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Kuala Lumpur Sabtu lalu (27 Feb.).

Maka bagi seorang pembesar Umno seperti Ku Li bersekongkol dengan parti lawan adalah bukan alang-kepalang kesalahan.

Kalau Mohd Najib tidak bertindak tegas dan pantas, dia akan dianggap tidak tegas dan mungkin pembesar Umno dan Barisan Nasional lain mungkin mengikut langkah Ku Li memberontak.

Inilah dilema Mohd Najib. Apatah lagi, Ku Li bukan orang lain, tetapi antara guru yang diamanahkan oleh Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein, untuk mendidiknya.

Jika berlaku konfrontasi terbuka antara Mohd Najib dan Ku Li, ia adalah perlawanan yang cukup menarik.

1. Ia berupa perlawanan antara murid dengan guru. Pasti ada sebab Abdul Razak menghantar anaknya yang baru pulang dari belajar di England berguru dengan Ku Li di Petronas di mana Ku Li adalah pengerusinya;

2. Sama ada kerana keturunan, kebijaksanaan atau ketentuan nasib si murid telah menjadi lebih berkuasa daripada guru;

3. Perlawanan kali kedua setelah Ku Li gagal mencabar Mohd Najib untuk jawatan Presiden Umno pada tahun 2009. Ku Li tidak memperoleh cukup kuota pencalonan bahagian untuk bertanding;

4. Perbezaan pendapat dalam Umno mengenai isu royalti minyak ini akan memberi kesan langsung dan besar kepada keputusan pilihan raya umum akan datang di Kelantan;

5. Cabaran Ku Li ini adalah sesuatu yang Mohd Najib perlu tangani dengan berhati-hati kerana walaupun Ku Li tidak lagi mempunyai kedudukan dalam kepemimpinan tertinggi parti, tetapi dia masih dihormati ramai;

6. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Ku Li dianggap sebagai pelindung hak Melayu dan antara beberapa kerat pembesar Umno yang masih berani bersuara;

7. Ku Li pernah menjadi putera mahkota politik Umno selaku naib presiden termuda di era Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn. Dia kenal benar siapa Mohd Najib;

8. Ku Li menjadi kuasa di belakang gerakan menjatuhkan kerajaan Pas Kelantan dan mengembalikan pemerintahan Umno pada tahun 1977;

9. Antara 1977 dan 1987 Ku Li menjadi peneraju pembangunan negeri Kelantan di bawah Pelan Pembangunan Negeri Kelantan;

10. Dia tentu sedar dengan hasil minyak yang lebih besar, Kelantan boleh dimajukan semula seperti zamannya dahulu. Kalau dia memihak kepada Pas, kerajaan Pas Kelantan pasti akan meminta nasihatnya;

11. Dia membantu menjatuhkan kerajaan BN Kelantan dan menaikkan semula Pas dalam pilihan raya umum 1990 apabila parti barunya, Parti Melayu Semangat 46 (S46) bersekongkol dengan Pas. Atas sebab itu, Pas sentiasa bersimpati dengan Ku Li; dan

12. Zaman Ku Li menerajui pembangunan Kelantan antara 1977 dan 1987 dianggap sebagai zaman keemasan Umno Kelantan.

Soalnya adakah pendirian beliau mengenai isu royalti minyak ini berupa episod kedua dan terakhir cabarannya terhadap Mohd Najib?

Ku Li tentunya sedar bahawa sama ada dia menjadi duri dalam daging kepada Umno atau dipecat, dia tetap akan menjadi wira di mata ramai ahli Umno dan orang Melayu. Pada usianya sekarang, dia tidak akan rugi apa-apa.

Bagi Mohd Najib pula, bagaimanakah dia mengharapkan keahlian Umno memberi kata putus mengenai Ku Li? Apakah caranya bagi ahli Umno yang berjuta bilangannya itu menyatakan pendirian mereka mengenai tindak-tanduk Ku Li?

Secara tidak langsung, keahlian Umno, melalui mesyuarat agung bahagian awal tahun lalu, telah menyatakan pendirian apabila mereka memberi sokongan sebulat suara kepada Mohd Najib dan menolak pencalonan Ku Li.

Jadi, adalah tidak mustahil bahawa Ku Li menggunakan isu royalti minyak ini untuk memberi kesempatan terakhir kepada dirinya dan kepada Mohd Najib untuk menentukan masa depannya dalam Umno dan BN.

Dia (Ku Li) sama ada kekal dalam Umno sebagai melukut di tepi gantang dan duri dalam daging atau menjadi “
man of the hour” dipecat daripada Umno.

http://kadirjasin.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan