PASIR PUTEH, 18 Mac: Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau kecewa kerana jasanya menubuhkan agensi itu tidak dikenang bahkan “dimarahi” disebabkan pendiriannya menyokong kerajaan PAS Kelantan menuntut isu royalti minyak.
Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata beliau menyokong tuntutan itu kerana menganggap pemberian wang ihsan (bukan royalti) oleh kerajaan pusat satu tindakan yang tidak tepat seolah-olah mengambarkan sebagai “peminta sedekah”.
“Mengikut undang-undang yang saya rangka dan masih dipakai sehingga sekarang Kelantan patut mendapat royalti minyak,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Sekolah Agama Saniah di sini, hari ini.
Tengku Razaleigh berkata beliau menubuhkan Petronas kira-kira 37 tahun lalu atas arahan bekas Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak mempunyai telaga minyak.
Katanya Razak mahukan beliau merangka satu draf undang-undang supaya negeri-negeri itu akan mendapat royalti minyak sebanyak lima peratus sekiranya telaga minyak dijumpai berhampiran dengan sesebuah negeri itu tanpa menyebut jarak dari pantai.
Menurutnya hasil penubuhan itu Petronas menyumbangkan RM75 bilion setahun kepada kerajaan pusat iaitu 42 peratus daripada pendapatan punca hasil negara.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan