Tiada ketuanan Melayu

Zukri Aksah
DIS 11:
Baru-baru ini dalam sesi perbahasan di Parlimen, Ahli Parlimen dari DAP, M. Kulasegaran telah membangkitkan isu ketuanan Melayu yang didakwa menghalang proses perpaduan kaum di Malaysia selama ini. Isu ini sempat juga menghangatkan sebentar sidang Parlimen pada hari tersebut.

Saya kira, apa yang disuarakan oleh Yang Berhormat Ipoh Barat ini tidak lebih sekadar contoh mentaliti rakyat Malaysia yang dalam proses pembesarannya telah menyaksi dan melihat bagaimana Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah disalahgunakan.

Oleh kerana proses kesaksian ini berlaku berulang-ulang dari kecil sehinggalah dewasa, maka bukan hanya beliau, bahkan ramai rakyat Malaysia menganggap bentuk DEB yang disalahguna secara praktisnya itulah DEB yang sebenar, seterusnya dari wajah DEB yang palsu ini menganggap wujudnya ketuanan Melayu.

Saya menjadi malu sendiri, malu juga dengan aksi Ibrahim Ali. Soalnya wujudkah ketuanan Melayu? Jika Melayu tuan, maksudnya kaum lain adalah hamba dalam negara Malaysia yang dulunya bernama Persekutuan Tanah Melayu ini. Kita sedang cuba meletakkan kasta ketika mana dalam kad pengenalan kita sendiri tidak pernah membeza-bezakan kaum di Malaysia ini dengan status warganegara kelas satu, dua atau tiga.

Kalau orang seperti Ibrahim Ali selamanya menganggap orang Melayu adalah tuan di bumi bertuah ini, maka saya rasa pemikirannya telah dijumudkan oleh doktrin bangsa Yahudi. Yahudi mengikut ajaran kitab Thamud menganggap hanya mereka yang layak bergelar manusia, sementara orang lain adalah goyem, yang setaraf dengan binatang.

Saya suka ingin mengingatkan Ibrahim Ali bahawa negara kita ini terjajah lebih 400 tahun kerana siapa? Bukankah kerana Melayu, tidak kiralah Melayu Proto, Melayu Yunan, Melayu Jawa, Melayu Arab atau Melayu Mamak. Bukankah Melaka tewas kerana tentera upahan Jawa dan pembelotan Tun Mendaliar?

Bukankah juga Melayu yang kononnya asli ramai menjadi pegawai, pekerja dan tentera British, juga menjadi kempetai Jepun? Adakah mereka tuan? Tidak sama-sekali! Mereka menjadi hamba kepada penjajah Portugis, Belanda, British dan Jepun. Kalaupun mereka tidak mengaku mereka hamba kepada bangsa imperialis ini, mereka pastinya hamba kepada nafsu dan syaitan, hamba kepada kedudukan dan kekayaan. Melayu mana yang bergelar tuan?

Kepada orang-orang yang tersalah anggap pula, seperti Kulasegaran, ingin saya tegaskan bahawa tidak ada di mana-mana bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan atau di mana-mana peruntukan dalam semua Undang-Undang Tubuh Negeri yang memberi taraf tuan kepada Melayu.

Ya, saya akui wujudnya Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera, juga adanya DEB. Sedikit klausa untuk Melayu dan Bumiputera dalam perlembagaan hanyalah sebagai tanda mengakui kedua-dua keturunan ini sebagai penduduk asal, sementara DEB adalah satu dasar yang secara idealnya bertujuan mahu mengimbangkan kedudukan kaum-kaum di negara ini. Jangan pula keliru dengan DEB sebagai satu dasar negara dengan praktisnya yang salah oleh kalangan pemimpin pemerintah.

Apakah DEB secara tidak sedar menabalkan Melayu sebagai tuan? Dahulu ada sekumpulan anak buah saya, orang Melayu yang kebetulan ketika itu aktif dengan PKR bersama dengan saya. Satu hari mereka datang menyuarakan keinginan untuk berniaga, membuka gerai jualan barang basah. Mereka telah kenalpasti tempatnya, sebuah kawasan simpanan JPS. Saya membantu mereka mendraf surat permohonan kepada JPS untuk menggunakan kawasan tersebut sebagai tapak berniaga, yang mana akhirnya diluluskan.

Setelah itu permohonan tersebut dibawa pula ke Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bagi tujuan mendapatkan lesen, setelah berhempas-pulas, akhirnya luluslah juga. Berniagalah mereka ini, semakin hari semakin maju, begitu mendapat sambutan dari penduduk di sekitar.

Kejayaan ini rupa-rupanya dicemburui oleh kalangan Umno yang tahu latar belakang politik anak-anak buah saya ini. Mereka menggunakan YB Umno di situ yang kemudiannya menggunakan pula Pejabat Tanah menghalang anak-anak buah saya ini berniaga walaupun Pejabat Tanah tiada hak kerana tanah itu milik JPS. Kesudahannya anak-anak buah saya ini dihalau macam anjing, gerai mereka dirobohkan, mereka Melayu! Dan mereka dihalau juga oleh orang Melayu! Siapa tuan, siapa hamba?

Tidak ada tuan sebenarnya.

Yang ada mereka yang berlagak tuan, mereka yang kemaruk mahu menjadi tuan. Mereka yang menganggap hanya kerajaan yang didokong mereka sahaja yang sah, kerajaan dokongan pihak lain haram, mereka yang menganggap hanya parti mereka sahaja yang sah, parti lain adalah haram. Tiada kaitan langsung dengan ketuanan Melayu, ini adalah soal kerakusan orang yang ghairah dengan kuasa dan kedudukan, ini adalah soal kezaliman orang yang terlalu takut hilang pangkat dan kekayaan.

Lebih penting, ini bukan kerana DEB mahupun Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera, kerana dalam melempias nafsu gila kuasa mereka, orang Melayu turut menjadi mangsa.

Bukan dosa DEB dan Hak Istimewa juga maka longgarnya perpaduan kita, ia dosa orang di atas sana.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan