Umno-BN sebenarnya yang terdesak

Angkasanuri
Sehari dua ini mungkin pemimpin Umno bersorak dengan perkembangan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Bagi saya biarkanlah mereka bertepuk tangan, berkeroncong dan berdondang sayang.

Biarkan mereka bergembira seketika supaya mereka terlupa porak peranda dan tsunami yang bakal melanda mereka. Mereka fikir dengan cara itu rakyat akan memaafkan 'dosa-dosa' mereka selama memerintah negara.

Apakah mereka fikir rakyat akan lupa kegawatan politik ciptaan mereka di Perak? Apakah mereka fikir pengundi di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor akan kembali untuk mengundi Umno-BN kembali?

Apakah mereka fikir rakyat akan lupa apa yang berlaku pada Altantuya? Apakah mereka fikir rakyat lupa tentang misteri kehilangan enjin pesawat? Apakah mereka fikir rakyat lupa tentang tragedi kapal selam yang tak boleh tenggelam?

Apakah mereka fikir rakyat terhibur dengan berita propaganda media ketika rakyat sedang mengikat perut? Adakah mereka fikir rakyat akan percaya bulat-bulat Dato Seri Anwar meliwat si Saiful yang lebih gagah daripadanya?

Jika itu yang mereka percayakan silalah buat pilihanraya sekarang. Berdasarkan perkembangan sekarang saya cukup yakin rakyat semakin tidak sabar untuk menumbangkan Umno-BN dalam pilihanraya umum akan datang.

Saya melihat sokongan yang semakin meningkat terhadap Pakatan Rakyat terutama daripada pengundi cina di seluruh negara. Saya yakin Umno-BN menyedarinya, sokongan pengundi cina kepada Umno-BN semakin merudum. Hakikat itu cukup digeruni oleh Umno-BN.

Maka terdapat teori mengatakan Umno-BN amat terdesak untuk mendapat undi 2/3 di parlimen. Hanya undi 2/3 di parlimen sahaja yang membolehkan Umno-BN membuat persempadanan semula kawasan pilihanraya.

Jika persempadanan semula dibuat sudah pasti ada pertambahan kawasan parlimen yang majoriti Melayu kerana mereka tidak yakin di parlimen yang mempunyai ramai pengundi cina.
Andaiannya, pengundi Melayu umpama tunggul kayu yang mudah ditipu yang diangggap secara tradisi menyokong parti penipu dan pengampu.

Maka berdasarkan perkembangan yang berlaku, Umno-BN yang sebenarnya yang terdesak dan bukannya PAS,PKR dan DAP atau Pakatan Rakyat. Kepada Pakatan Rakyat buatlah yang terbaik untuk memastikan cita-cita Umno-BN mendapat undi 2/3 di parlimen tidak kesampaian. Terjemahkan perpaduan dan kekuatan supaya kemaraan ke Putrajaya selepas PRU ke 12 akan menjadi kenyataan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan