SHAH ALAM 23 MAC: Pakatan Rakyat mendesak Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan seluruh rakyat Malaysia berikutan sikap biadap mereka melalui satu penyiaran rencana.
Rencana melalui kolum Awang Selamat terbitan Kumpulan Utusan Malaysia, sebuah akhbar kawalan Umno-Barisan Nasional mempertikai keputusan baginda yang membatal hasrat untuk merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves, Amirudin Shaari menggesakan rencana bertajuk 'Perkasa, Ibrahim dan Kedudukan Melayu' bertarikh 21 Mac itu mempertikai keputusan baginda, dihentikan kerana berbaur perkauman.
"Keputusan pembatalan itu bagi mengelakkan kontroversi dan manipulasi pihak tertentu. Kami ahli DUN Selangor PR membantah sikap biadap yang ditunjukkan oleh Awang Selamat dan Utusan.
“Jelas Awang Selamat cuba membayangkan tindakan beliau dan Dr Mahathir dalam mesyuarat pertama Perkasa lebih baik daripada keputusan Sultan Selangor yang membatalkan kehadiran baginda.
Amirudin juga memuji sikap dan keputusan Sultan Selangor serta menggesa semua pihak menghormati keputusan berkenaan yang disifatkannya bijak.
"Institusi Raja bukan sahaja mengetuai hal ehwal Islam dan adat istiadat Melayu tetapi menjadi payung dan ketua negeri terhadap simbol perpaduan,” katanya.
Beliau mengingatkan semua pihak bahawa Pakatan Rakyat dalam konvensyen pertama berikrar memperjuangkan institusi diraja, kedudukan bumiputera dan martabat bahasa Melayu, selaras dengan semangat keadilan dan kebebasan.
Amiruddin juga mempersoalkan di manakah Awang Selamat ketika bahasa Melayu diperlekeh, tanah rizab Melayu terhakis politikus Melayu yang merompak kekayaan negara demi kepentingan peribadi.
- tvselangor-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan