Bangunan terbiar: Kerajaan kaji cadangan Dr Mujahid

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 12 Apri
l: Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan berkata, pihaknya akan mengkaji cadangan Dr Mujahid Yusof Rawa (PAS-Parit Buntar) supaya bangunan-bangunan yang terbiar dimanfaatkan sebagai pusat komuniti.

Dr Mujahid sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini mencadangkan agar bangunan-bangunan yang terbiar dan tiada pemilik dimanfaatkan sebagai pusat komuniti untuk tujuan aktiviti sosial melibatkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

Katanya, untuk tujuan itu kerajaan harus mengadakan satu data bagi membolehkan bangunan-bangunan terbiar ini dikategorikan supaya kebolehgunaan bangunan ini dapat dimaksimumkan.

"Saya ingin mencadangkan kepada pihak kementerian agar diadakan satu data di mana data ini membolehkan kita mengkategorikan bangunan-bangunan terbiar ini supaya strategi guna pakai atau kebolehan gunaan bangunan ini boleh kita usahakan.

"Saya mencadangkan bangunan yang terbiar ini atau bangunan yang tidak ada tuan ini, apakah mungkin pihak kementerian mengambil langkah-langkah supaya bangunan ini boleh digunakan untuk aktiviti-aktiviti sosial dan boleh dipakai sebagai pusat komuniti dan aktiviti-aktiviti NGO," katanya.

Beliau juga ingin tahu sama ada bangunan itu dinilai semula untuk pembangunan.

"Apakah mungkin bangunan ini dinilai semula untuk mungkin menjadi satu hartanah atau dijual untuk pembangunan," soalnya.

M. Saravanan berkata, pihaknya akan mengkaji cadangan itu untuk diambil tindakan.

Mujahid dalam soalan asalnya meminta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menyatakan jumlah bangunan yang terbiar dan tidak digunakan di sekitar Kuala Lumpur dan tindakan yang diambil kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini.

Timbalan menteri itu memberitahu, semenjak tahun 2003, sebanyak 318 buah bangunan usang dan terbiar telah dikenal pasti oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sejak 2003 juga, katanya, 301 notis telah dikeluarkan kepada pemilik premis terbiar yang memerintahkan mereka supaya melakukan kerja-kerja pengindahan atau mengecat premis masing-masing.

Dalam soal menangani isu bangunan terbiar, masalah yang dihadapi oleh DBKL adalah pemilik sebenar premis gagal dikenal pasti, notis tidak dapat diserahkan kepada pemilik, dan kes masih di mahkamah bagi menentukan pemilik sebenar premis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan