Bila Orang Berhati Kecil Berkecil Hati

Zolkharnain Abidin

Media melaporkan, Menteri Shafie Afdal kecewa kerana tak dapat guna dewan dan tandas di Selangor. Dia pulangkan paku buah keras sambil mengaku bahawa BN juga pernah buat perkara yang sama kepada orang-orang bukan BN.

Dalam masa yang sama, dia juga mengungkit bahawa kerajaan BN tetap bantu Kelantan walau pun negeri itu diperintah Pakatan.

Katanya, bukan BN sahaja pernah lakukan perkara sebegitu, Pakatan pun turut buat perkara yang sama. Kerajaan Pakatan tidak adil, dan dunia perlu diberitahu bahawa kerajaan Pakatan tidak adil. Ketidak adilan kerajaan Pakatan terbukti apabila menteri tidak dibenarkan guna tandas dan dewan.

Shafie orang besar. Orang besar sepatutnya berhati besar. Hati besar maksudnya tidak mengambil kisah sangat dengan perkara yang kecil. Perkara kecil hanya dipandang besar oleh mereka yang berhati kecil.

Sudah sekian lama rakyat berkecil hati dengan BN. Rasa kecil hati itu tidak pernah terpadam sampai sekarang. BN tidak pernah ambil peduli pun dengan rasa kecil hati rakyat. Kenapa?

Kerana, apa pun yang BN buat terhadap rakyat, undi tetap menyebelahi parti itu. Orang-orang besar dalam BN tidak pernah faham makna dan rasa kecil hati. Bagi mereka apa yang mereka buat terhadap rakyat, rakyat tidak perlu rasa kecil hati.

Kalau ada rakyat yang berkecil hati dengan kerajaan BN, senang sahaja, labelkan rakyat itu sebagai rakyat yang tidak bersyukur, tidak mengenanng budi.

Dalam keadaan kecil hati pun, Shafie masih mengungkit kewajipan kerajaan pusat terhadap rakyat Kelantan. Shafie mengungkit semua itu dalam keadaan dia berkecil hati kerana tak dapat guna tandas dan dewan.

Pernahkah Shafie memahami bahawa, sebelum Shafie berkecil hati kerana tak dapat guna tandas dan dewan, berpuluh tahun sudah rakyat Kelantan berkecil hati dengan sikap kerajaan pusat. Shafie tahu hal itu, cuma dia tidak pernah memahami apa itu kecil hati sehingga dia sendiri merasa kecil hati.

Shafie kecil hati terhadap perkara kecil saja, tak boleh guna dewan dan tandas. Tetapi disebabkan jiwa orang besar ini kecil, dia tetap berkecil hati terhadap perkara kecil.

Kecil hati orang Kelantan yang Shafie tidak pernah rasa lebih dahsyat lagi. Dilewatkan bantuan perkapita, dinafikan hak mendapat royalti, dinafikan hak mendapat bantuan baja subsidi, dan banyak lagi.

Orang Kelantan kecil hati dengan itu semua termasuk orang BN Kelantan. Namun perasaan kecil hati itu tidak pernah difahami oleh orang seperti Shafie. Bukan kerana jiwa Shafie besar tetapi kerana hatinya tidak pernah tahu bagaimana untuk merasa kecil.

Kini barulah Shafie tahu makna kecil hati. Tetapi sayang dia berkecil hati dalam keadaan hatinya memang kecil.

Ya, kecil hati kerana tak boleh guna tandas. Bukankah itu kecil hati daripada orang berjiwa kecil?

Kenapa? Kerana kalau dia tak dapat guna tandas pun, orang tetap sediakan tandas untuknya.

http://sauhdibongkar.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan