PASIR MAS, 5 April: “Saya anggap Sudin sudah mati,” kata isteri pertama Shamsuddin Che Derahman atau Sudin Ajaib, lelaki tabligh berusia 41 tahun yang masih diburu polis kerana kesalahan mengahwini kanak-kanak bawah umur.
Rohana Ibrahim, 34, yang mempunyai empat anak, menyifatkan suaminya itu telah banyak memberi penderitaan kepada beliau sekeluarga.
“Tanpa kehadiran Sudin, kami kini dalam keadaan tenang,” katanya kepada Bernama di sini.
Rohana berkata sudah hampir sebulan suaminya itu menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita.
“Saya dan anak-anak pun tidak mengharap dan saya sendiri sudah tawar hati padanya. Cukuplah, dia sudah banyak menyusahkan hidup kami anak beranak,” katanya.
Rohana berkata anak-anaknya juga tidak bertanyakan bapa mereka malahan anak sulungnya, Siti Nur Nadhirah, 11, yang dinikahkan oleh Sudin dengan sahabat tablighnya, juga enggan menyebut dan bercakap apa-apa mengenai Sudin.
“Kami sekeluarga tidak mahu pun mencari Sudin, biarlah apa dia nak buat, sama ada dia hidup atau mati kami tidak mahu ambil peduli,” katanya.
Ditanya apakah tindakan selanjutnya yang akan dilakukan terhadap Sudin kerana mengabaikan rumahtangga, Rohana berkata, beliau kini dalam proses membuat tuntutan sewajarnya mengikut undang-undang.
“Semuanya masih dalam proses dan diharap semuanya akan selesai secepat mungkin,” katanya.
Beliau turut melahirkan kelegaan dengan penangkapan lelaki yang mengahwini anaknya.
“Syukurlah dia dah ditahan, kalau tidak dia dan Sudin mesti tidak akan berhenti menggunakan kanak-kanak menjadi mangsa. Sekurang-kurangnya bila dia ditahan, sekarang pihak polis boleh memberi tumpuan untuk mencari dan menahan Sudin pula,” katanya.
Shamsuddin dilaporkan menikahkan anak perempuannya yang berumur 11 tahun dengan sahabatnya yang dikenali sebagai “Azhar” dalam sebuah kereta.
Shamsuddin sendiri telah menikahi seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun, Siti Nur Zubaidah Hussin, dan melarikan kanak-kanak itu.
Pada 12 Mac lalu kanak-kanak itu ditemui apabila ditinggalkan Sudin di sebuah surau di Batu Caves, Selangor.
Polis yang melancarkan gerakan memburu kedua-dua lelaki itu berjaya menahan “Azhar” pada 23 Mac lalu manakala Sudin belum dapat dijejaki.
Ibu Siti Nur Zubaidah Hussin, Siti Sarnan Mat Ail, 42, berkata anaknya kini semakin pulih daripada trauma dan sudah mampu menjalani kehidupan sebagaimana kanak-kanak lain.
“Sekarang ini dia pun semakin gembira dan dapat belajar dengan baik,” katanya.
Siti Nur Zubaidah kini masih berada dalam jagaan seorang bapa saudaranya.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan