Ketua Angkatan Muda PKR Disebut Calon Hulu Selangor

KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Mohd Akin semalam mengesahkan bahawa nama beliau adalah antara lima orang yang disenarai pendek oleh kepimpinan parti bagi bertanding dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor.

"Bagaimanapun keputusan mengenai calon yang terpilih terserah kepada pucuk pimpinan parti," kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat di sini.

Kelmarin Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh berkata, kepimpinan parti telah menyenarai pendek lima nama sebelum memutuskan calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil itu pada 25 April ini.

Pada majlis itu, Ketua Pemuda DAP, Loke Siew Fook dan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan menyatakan sokongan terhadap Shamsul Iskandar atau mana-mana calon yang dipilih oleh kepimpinan PKR nanti.

Mereka juga mengulangi komitmen parti masing-masing untuk mengekalkan status quo dengan memberi laluan kepada PKR untuk bertanding kerusi parlimen itu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat Hulu Selangor daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac kerana barah otak.

Penamaan calon bagi pilihan raya itu ialah pada 17 April.

- BERNAMA-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan