PETALING JAYA, 5 April: Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa dia melihat Konstabel V. Navindran memukul A. Kugan yang didakwa mati dalam tahanan polis pada Januari tahun lepas.
Konstabel K. James, 27, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, yang ketika itu bertugas mengawal Kugan dalam tahanan di Balai Polis Taipan, berkata Navindran masuk ke dalam bilik soal siasat di mana Kugan ditempatkan selepas beliau bersama seorang lagi anggota keluar dari bilik itu.
Beliau yang bertugas dari pukul 4 pagi hingga 8 pagi pada 16 Jan tahun lepas, berkata Navindran datang ke balai itu untuk mendapatkan perkembangan kes kecurian kereta mewah yang didakwa membabitkan Kugan.
“Navindran datang ke balai pada pukul 7 pagi dan masuk ke bilik itu, saya kemudian keluar untuk membeli minuman bersama seorang lagi anggota di kedai berdekatan dengan balai selepas beranggapan Navindran bertugas pada hari itu untuk bertukar syif pada pukul 8 pagi.
“Sekembali dari kedai, saya menjalankan penyemakan semula perkembangan soal siasat Kugan, dan tiba-tiba saya terdengar suara seseorang dengan kuat seolah-olah menjerit dari arah bilik soal siasat tetapi saya tidak pasti suara milik siapa,” katanya.
Beliau bersama seorang anggota lain bergegas ke bilik berkenaan dan melihat Navindran memukul Kugan dalam posisi berdiri yang menghadap antara mereka.
“Saya cuba menghalang Navindran daripada memukul Kugan dengan memegang tangan Navindran dan mengarahkannya keluar dari bilik itu.
“Kugan yang tangan bergari di belakang kelihatan seperti cuba mengelak daripada terus dipukul dengan memusingkan badannya beberapa kali ke arah kanan dan kiri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengingati beberapa lama dan kekerapan Navindran memukul Kugan. Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi dengan apa Navindran memukul Kugan, James berkata beliau merasakan sesuatu yang lembut dan ternampak hos getah pada tangan Navindran ketika beliau cuba menghalang serta meleraikan perbuatan itu.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan