Mat Zain Mat Isa
Meski pun Malaysia terkenal dan mahu dikenali dunia sebagai negara Islam contoh, dalam banyak hal kita berdepan berbagai karenah untuk meyakinkan umat Islam sendiri berhubung kebaikan di sebalik pelaksanaan hukum dan peraturan agama suci itu.
Bahkan, kejahilan umat Islam sendiri mendorong mereka menilai hukum Islam sebagai menyusah dan menakutkan. Hukum Islam dilabelkan ketinggalan zaman, tidak relevan dengan perkembangan semasa dan seumpamanya.
Bukankah kita pernah dengar bagaimana ada pemimpin utama negara dengan angkuhnya menganggap jika dilaksanakan Islam dalam pemerintah, ia umpama memusing jarum jam ke belakang?Mangsa utama persepsi negatif sebegitu adalah PAS. Sebagai parti yang berikrar mendaulatkan syariat Allah di bumi Malaysia ini, PAS pernah dianggap kolot, ekstrim dan tidak toleran.
Pengalamannya memperkenalkan beberapa peraturan Islam di kesempatan memerintah dua negeri di Pantai Timur, iaitu Kelantan dan Terengganu (sebelum ini) banyak berdepan ejekan dan persendaan. Paling mendukacitakan ialah apabila Umno selaku parti tunjang pemerintahan negara, bukan saja tidak berkongsi aspirasi merealisasikan pelaksanaan hukum Islam, malah dalam banyak keadaan menjadi penyangak utama menggagalkan usaha murni ke arah itu.
Setiap peraturan bertepatan Islam diperkenalkan PAS sering diputarbelit secara tidak bertanggungjawab. Peranan media talibarut Barisan Nasional (BN) dalam menyuburkan imej negatif terhadap PAS dan mengelirukan masyarakat terhadap Islam dibawanya tidak sukar dibuktikan.
Di antara peraturan yang menjadi bahan momokan mereka ialah usaha PAS memperkenalkan pengasingan gender di tempat awam. Ia termasuklah mewujudkan tempat duduk berasingan bagi wanita dan lelaki bukan mahram sama ada di dalam majlis dan perhimpunan umum atau dalam pawagam. Begitu juga kaunter berasingan mengikut gender di pasaraya dan gedung beli-belah.
Usaha menguatkuasakan peraturan itu bukan saja dipersendakan bukan Islam, bahkan turut disambut dingin penguasa politik beragama Islam. Malah ada cerdik pandai yang pada zahirnya kelihatan menyokong aspirasi perjuangan pakatan pembangkang berdepan BN, tiba-tiba berubah nada suaranya tatkala berbicara soal peraturan tersebut. Usaha PAS menyuarakan pengasingan gender di tempat awam mereka anggap kerja remeh-temeh dan tidak perlu diutamakan.
Persepsi senegatif itulah yang menyukarkan wujudnya persefahaman baik antara PAS dengan pihak-pihak ketiga yang berhasrat menganjurkan program mereka di negeri-negeri diperintah PAS. Alhamdulillah, tembok prejudis itu nampaknya telah berjaya dirobohkan minggu lalu.
Buat pertama kalinya sejak program karnival hiburan dan pamer-jual Jom Heboh diperkenalkan stesen TV3, ia berjaya diadakan di bumi Serambi Mekah, 26 dan 27 Mac lalu. Itu pun setelah pihak penganjur memberi perakuan mematuhi syarat-syarat dikenakan kerajaan negeri.
Antaranya ialah penampilan hanya artis lelaki mengisi slot konsert. Manakala tempat duduk hadirin lelaki dan wanita bukan mahram diasingkan. Meski pun mungkin dibauri unsur-unsur keterpaksaan, penganjur program pada zahirnya akur terhadap peraturan itu.
Bagaimana pun, semua pihak terlibat menjayakannya berpuas hati dan menganggap program tersebut memberikan banyak manfaat kepada semua pihak, termasuk para pengunjung.
Ertinya, dapat disimpulkan bahawa tidak ada cacat-celanya terhadap kemeriahan dan kemanfaatan program itu walau pun dengan menghayati peraturan Islam. Bahawa mengawal pergaulan bebas dan mengasingkan hadirin mengikut gender terbukti tidak “memusingkan jarum jam ke belakang” sepertimana dimomokkan pihak anti-peraturan Islam sebelum ini.
Ditakdirkan Allah, tidak sampai seminggu selepas tersebarnya kejayaan penghayatan peraturan itu di Kota Bharu, tersiar pula laporan akan wujudnya pengasingan serupa bagi pengguna komuter di ibu negara pula. Dalam satu kenyataan media pada Rabu (31 Mac) lalu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan hasrat memperkenalkan komuter khas untuk golongan wanita bagi menjamin keselamatan dan keselesaan mereka.
Mungkin bagi KTMB, hasrat itu satu idea baru. Namun perkhidmatan serupa sebenarnya telah lebih awal diperkenalkan di negara-negara lain. Rusia, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Brazil, Mexico, Iran dan India umpamanya telah memperkenalkan perkhidmatan teksi khas untuk wanita sejak awal 2007. Di samping dipandu pemandu wanita dan hanya dinaiki penumpang kaum sejenisnya, teksi itu turut dilengkapi beberapa kemudahan untuk keselesaan wanita.
Indonesia pula mendahului negara lain dengan melancarkan perkhidmatan bas eksklusif untuk wanita, juga pada 2007. Manakala sebuah syarikat penerbangan Jepun pada tahun sama memperkenalkan pengasingan tempat duduk wanita dan lelaki dalam pesawat-pesawatnya.
Dorongan utama mewujudkan perkhidmatan berasingan mengikut gender itu ialah kerana wanita mendambakan persekitaran selamat dan selesa terutama dari sebarang gangguan kaum lelaki ketika berada di tempat awam.
Sementara pihak yang meremehkan usaha sebegitu mungkin akan terus kekal dengan persepsi negatif mereka, wajar diakui betapa negara kita sebenarnya telah agak ketinggalan dalam merealisasikan pengasingan gender di tempat awam berbanding sebilangan negara lain di dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan