MB Beri 3 Bulan Pada Pusat Selesai Kes Sungai Buaya

Kerajaan Selangor memberi tempoh tiga bulan kepada Kerajaan Pusat untuk menyediakan penyelesaian menyeluruh jika mahu bangunkan semula Bandar Sungai Buaya yang telah dijanjikan tetapi tidak dilaksanakan sejak lebih 15 tahun lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan Selangor akan mengambil semula tanah itu jika didapati cadangan pembangunan semula itu tidak memberi manfaat dan keuntungan kepada peneroka yang juga pemilik asal tanah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) tidak meluluskan sebarang projek pembangunan di Kampung Sungai Buaya itu sehingga kerajaan berpuas hati dengan cadangan pembangunan yang mahu dibuat kerajaan Pusat.

“Kita beri tempoh tiga bulan kepada kerajaan Pusat untuk menyediakan maklumat lengkap mengenai pembangunan semula projek terbengkalai ini termasuk prasarana dan pampasan.

“Jika kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan kebaikan dan manfaat yang akan diperoleh peneroka menerusi cadangan pembangunan semula Bandar Sungai Buaya, kita akan mengambil-alih tanah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Sungai Buaya di Dewan Orang Ramai di sini, hari ini.

Menteri Besar juga menasihatkan penduduk yang asalnya peneroka Felda itu supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian bagi mengelak terus menjadi mangsa penipuan.

Kampung Sungai Buaya adalah bekas Felda yang dibatalkan bagi tujuan pembangunan semula tanah secara bersepadu.

Satu perjanjian ditandatangani antara peneroka dan Murna Jaya Development Berhad (MJDB) sekitar 1993-1994 melibatkan 363 peneroka. Seramai 120 peserta masih hidup manakala baki 243 peserta telah meninggal dunia.

Pada 1996, MJDB menandatangani perjanjian usaha sama dengan Land & General Berhad (L&G) dan Bandar Sungai Buaya Sdn Bhd untuk bangunkan projek itu.

Projek itu melibatkan 14 hak milik tanah dengan keluasan 1,252.31 hektar/3,084.5 ekar dan setiap peneroka dijanjikan RM121,000 bagi setiap ekar.

Kemungkinan peneroka mendapat semula tanah dengan keluasan asal adalah kecil kerana tanah itu telah menjadi milik pemaju projek.

Perjanjian itu dibatalkan atas sebab tertentu pada Ogos 2002 dan pemaju masih belum jelaskan baki bayaran pampasan sebanyak RM226.495 juta.

Menteri Besar berkata, kerajaan Negeri akan melantik Panel Peguam untuk meneliti dokumen perjanjian antara penduduk dengan pemaju bagi memastikan perjanjian itu menguntungkan penduduk.

“Kita akan melantik Panel Peguam untuk meneliti dan menyemak perjanjian. Jadi kita nasihat penduduk supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian sebelum faham kandungannya,” katanya.

Abdul Khalid berkata tender terbuka akan dibuat jika kerajaan negeri mengambil alih tanah itu dan pembangunan di kawasan itu akan dijalankan seperti mana di Bukit Botak dan Bukit Cerakah.

“Kita yakin mampu menyelesaikan masalah projek terbengkalai ini berdasarkan pengalaman kita menyelesaikan projek Bukit Botak dan Bukit Cerakah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah berjanji untuk menyelesaikan masalah projek terbengkalai itu pada Pilihan Raya Umum 2004 dan 2008 tetapi masalah itu masih tidak selesai.

“BN tidak selesaikan masalah tetapi hanya mengurangkan masalah. Mereka memberi „gula-gula apabila penduduk merengek. Penduduk di sini menjadi seperti masayarakat peminta dan takut untuk bersuara kerana bimbang tidak mendapat gula-gula (hadiah wang),” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 147 projek terbengkalai bernilai lebih RM5 bilion ditinggalkan kerajaan BN selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan Selangor pada Mac 2008.

Abdul Khalid berkata, kerajaan Negeri akan meneliti satu per satu projek terbengkalai itu dengan memberi tumpuan kepada projek yang melibatkan ramai pembeli dan rakyat berpendapatan rendah.
-tvselangor-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan