Pembinaan Hospital Shah Alam Tertangguh, PAC Patut Siasat Pemberian Tender

SHAH ALAM 4 APR: Masalah pembinaan Hospital Shah Alam yang ditunggu-tunggu penduduk bandar raya ini sejak sekian lama tetapi tertangguh berikutan karenah subkontraktor, menunjukkan keburukan amalan sistem rundingan terus .

Hal ini ditegaskan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua berhubung masalah yang menimpa Hospital Shah Alam bernilai RM482 juta yang dijadual dibuka November ini.

"Saya rasa masalah Hospital Shah Alam adalah satu contoh untuk menunjukkan kelemahan kepada kerajaan Barisan Nasional yang menawarkan kontrak secara terus kepada kontraktor.

"Ia membawa kesan buruk kepada kerajaan di seluruh negara. Bukan Hospital Shah Alam sahaja, sebelum ini pun kita ada banyak kes. Hospital di Alor Gajah, hospital di Tuaran sudah dibina tapi tidak ada katil.

"Selain itu, hospital di Johor Bahru pun banyak masalah," katanya kepada TV Selangor.

Pemegang kontrak Hospital Shah Alam, Sunshine Fleet Sdn Bhd kini mengalami masalah kerana berdepan kemungkinan diisytihar bankrap selepas gagal membayar tuntutan RM10 juta oleh subkontraktornya, GMH Healthcare Sdn Bhd.

Mengikut laporan Malasyia kini, Sunshine Fleet, pada mulanya memberi kontrak itu kepada Isyoda Corporation Berhad.
Isyoda kemudian gagal menyiapkan projek itu selepas dikeluarkan dari Bursa Malaysia dan dalam proses diisyitihar bankrap.

Projek itu diambil alih pula GMH yang terpaksa membayar Isyoda 10 juta ringgit bagi pihak Sunshine Fleet sebagai bayaran bon pendahuluan.

Tony Phua mendesak perkara itu disiasat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kerana ia berkaitan masalah pemberian kontrak melalui rundingan terus walaupun mengikut pengumuman awal, ia akan dilakukan menerusi sistem tender terbuka.

Beliau menyifatkan rakyat marhaen menjadi mangsa dalam kes berkenaan berikutan pembinaan Hospital Shah Alam itu penting bagi mengurangkan beban yang ditampung Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
-tvselangor-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan