Poland bantah pembinaan masjid

WARSAW, 2 April: Suasana yang biasa dilihat di beberapa negara Eropah barat namun baru bagi Poland, berpuluh-puluh penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi menentang pembinaan masjid di pinggir Warsaw hujung minggu lalu.

Rancangan komuniti kecil Islam di Poland untuk membina tempat ibadat dan pusat kebudayaan Islam menerima penentangan daripada pihak yang bimbang Islam mungkin tersebar ke negara Kesatuan Eropah (EU) yang kuat berpegang dengan mazhab Kristian Katolik ini.

Antara 15,000 hingga 30,000 Muslim yang kebanyakan adalah pendatang dari Chechnya, tinggal di Poland - negara bekas komunis terbesar di dalam EU yang mana 90 peratus daripada 38 juta penduduknya adalah penganut Katolik.

Kira-kira 150 orang mengadakan tunjuk perasaan di bangunan masjid separuh siap, 30 minit dari pusat bandar di mana Liga Muslim, pertubuhan agama yang ditubuhkan pada 2004 mahu masjid kelima dibenarkan kerajaan dibina.

"Pusat berkenaan sangat berpotensi besar untuk mewujudkan golongan radikal," kata seorang penunjuk perasaan yang enggan namanya disiarkan.

Dia turut membawa sepanduk yang menggambarkan menara masjid sebagai peluru berpandu, gambaran serupa dengan imej yang digunakan dalam pungutan suara Sweden semasa rakyat memutuskan untuk mengharamkan pembinaan menara tahun lalu.

Beberapa yang lain melaungkan "Jangan ulangi kesilapan Eropah' dan 'Toleransi membuta-tuli membunuh penilaian akal' selain mendesak negara Islam menghormati hak asasi wanita dan kebebasan beragama.

"Lihat apa yang berlaku di Eropah, saya tidak mahu anak perempuan saya memakai purdah di masa akan datang," kata seorang penunjuk perasaan.

Jawatankuasa Parlimen Belgium minggu ini sebulat suara mengharamkan pemakaian burqa dan niqab yang menutup seluruh muka di tempat awam.

Kebelakangan ini banyak aduan mengenai kemasukan pendatang beragama Islam ke negara-negara Eropah barat seterusnya menjadikan Islam sebagai agama kedua terbesar di benua ini.

Kira-kira 15 hingga 18 juta penduduk Eropah terdiri dari umat Islam, yang mana satu pertiga di Perancis. – REUTERS

-utusanmalaysia-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan