Drs Khalil Idham Lim
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, kelmarin dengan sikap yang tidak membina dan menghargai usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah Pakatan Rakyat (PR) dengan menyifatkan pemberian RM100 setahun kepada warga emas di Pulau Pinang sebagai suatu yang memalukan.
Saya tidak pasti apa yang dimalukan oleh Sharizat, kerana rasa malu kepada dirinya dan kementerian yang diketuainya adalah sepatutnya lebih tinggi kerana tidakpun melakukan apa yang dilakukan oleh Lim Guan Eng.
Andaian cetek Shahrizat yang menumpang jadi menteri dengan kerusi Sanator itu baginya kerajaan negeri pimpinan DAP itu sebenarnya meletakkan nilai warga emas di negeri tersebut sebagai kurang daripada RM10 sebulan.Sedangkan kementerian dan kononnya Kerajaan Malaysia yang makmur di bawah pentadbiran BN sejak 52 tahun memerintah Malaysia tidak pernah melakukan seperti apa yang dilakukan walaupun di Pulau Pinang sendiri.
Bukankah sepatutnya dan kalaulah Shahrizat matang berpolitik, cubalah puji sedikit walaupun ianya dari Pakatan Rakyat, nyatakan yang sebenarnya, yang baik kenalah disokong. Kalau rasa mampu saingilah dasar itu dengan membuat dasar yang sama untuk negeri lain yang dikuasai BN, bukankah BN mendakwa ekonomi Malaysia makin baik.
Dengan sombong dalam berita yang saya saksi di TV3 dengan katanya, "Saya rasa malu bila terbaca Guan Eng beri RM100 setahun kepada warga emas. Kalau nak dikira tak sampai RM10 sebulan. Pemberian itu kononnya sebagai pernyataan penghargaan. Sebagai menteri yang menjaga kebajikan saya rasa malu”.
Tidak tahu apa yang ibu menteri ini maksudkan. Bagi saya dia malu kerana tidak mampu buat macam Guan Eng buat dan, dia telah dipintas oleh dasar kebajikan kepada rakyat oleh sebuah negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat.
Angkuhnya Shahrizat sehingga dia tawarkan ucapan takziah kepada warga emas di Pulau Pinang kerana nilai mereka kepada kerajaan Pakatan Rakyat baginya hanya kurang daripada RM10 sebulan. Sedangkan dalam Islam banyak mana yang diberi bukan ukuran, namun keikhlasan dan kemampuan yang ada itu adalah ukuran yang utama di sisi Allah SWT.
Realitinya Umnolah yang sering meletakkan nilai orang Melayu lebih murah daripada sekilo ikan kering dengan menggunakan wang memancing undi setiap kali pilihan raya. Bayangkan kalau Guan Eng bagi RM100 untuk setahun, BN bagi kepada rakyat RM100 untuk lima tahun, mana lebih murah dan memalukan. Ertinya nilai dan maruah orang Melayu Umno khususnya cuma dibayar dengan nilai tidak sampai RM2. Hanya RM1.6666666666 sahaja sebulan.
Kenyataan Shahrizat bagi saya akan menambahkan kebencian rakyat Malaysia khususnya warga emas kepada Umno dan BN. Pengkhianat ini ternyata perlu dinyahkan dari peta politik Malaysia. Tahulah rakyat akan menghukumnya bila tiba masanya nanti.
YB Drs Khalil Idham Lim adalah Adun Titi Serong dan Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat Negeri Perak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan