Ketua Umum Pakatan Rakyat itu memberitahu, beliau sedia mempertimbangkan perkara tersebut jika rakyat merasakan ia perlu diwujudkan.
“Semalam saya dengar berita besar, saya dengar cerita, dikata Anwar berbohong (apabila ditanya) tentang naiknya wakil-wakil dari kaum lain sebagai timbalan-timbalan perdana menteri, kemungkinan dua dan tiga.
“Ditanya adakah orang lain pun akan dapat, saya kata apa salahnya... terserah kepada rakyat, saya bukan diktator,” kata beliau ketika berucap pada sesi penggulungan perbahasan Kongres Nasional Keenam PKR di sini hari ini.
Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata perkara tersebut akan diputuskan apabila Pakatan Rakyat berkuasa kelak.
“Kalau kita menang, kalau ada ruang, apa salahnya... dua, tiga timbalan perdana menteri, ada Muslim, ada Cina, ada Kristian. Ini diputus kemudian,” kata beliau mengulas reaksi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.
Najib memberitahu rakyat perlu menilai secara bijak setiap janji yang dibuat Anwar kerana penasihat PKR itu sebenarnya hanya mahu mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri.
Perdana Menteri berkata rakyat perlu mengingati kembali penipuan besar yang pernah dibuat Anwar ketika mencanangkan penubuhan kerajaan baru pada 16 Sept 2008.
Dalam pada itu Bernama melaporkan, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mengetahui tentang janji Anwar bagi mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II untuk pemimpin DAP sekiranya pakatan pembangkang menang dalam pilihan raya umum akan datang.
Malah beliau berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam pakatan itu.
“Saya tak tahu, kita belum bincang. Itu pandangan peribadi dia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas menyaksikan majlis pecah tanah projek pembinaan Kompleks Pas yang bernilai RM30 juta di Paya Indah dekat Dengkil hari ini.
Janji terbaru Anwar itu yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan pada 26 Mei lalu.
Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata secara prinsipnya apa-apa keputusan akan dibuat melalui perbincangan dalam Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh pemimpin PAS, DAP dan PKR.
Ditanya sama ada pakatan itu akan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya memenangi pilihan raya umum, Salahuddin berkata ia belum diputuskan dan segalanya bergantung kepada keputusan pilihan raya.
“Kita tidak bincang perkara itu secara spesifik dan khusus, tetapi mengikut semangat setiakawan dan persahabatan yang kita amalkan dalam Pakatan Rakyat, setakat ini semua program, dasar dan keputusan dibincangkan dalam majlis tertinggi pakatan.
“Begitulah amalan kita terhadap perkara yang berlaku pada masa akan datang, apa pun yang akan dilakukan diputuskan majlis tertinggi,” katanya.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan