Kematian adik Aminulrasyid, rakyat tidak senang

Roslan SMS
Saya mendapat maklumat kerajaan BN bimbang dengan perkembangan yang melibatkan kematian tragis Allahyarham adik Aminulrasyid Amzah. Ada yang bertanya kawan-kawan bagaimana reaksi rakyat di akar umbi.

Isu ini bukan mahu dipolitikkan. Isu melibatkan hamba Allah yang tidak berdosa mati ditembak siapa yang mahu politikkan! Ini bukan soal pembangkang betul kerajaan salah atau sebaliknya.

Ini isu kesilapan atau keghairahan terlampau dalam menjalankan tanggungjawab sehingga mengakibatkan kecuaian yang berakhir dengan kematian.

Kesalahan Allahyarham dari versi rasmi: Menimbulkan kecurigaan seolah beliau adalah penjenayah. Lari dari pihak polis sehingga merempuh kenderaan lain.

Hukuman: Kenderaannya dihujani peluru untuk memaksanya berhenti.

Kesudahannya: Sebiji peluru tembus melalui belakang tempurung kepala Allahyarham terus membunuhnya. Injin kenderannnya masih hidup tetapi yang mati beliau.

Siapakah beliau: budak tingkatan tiga berusia 15 tahun. Tidak pernah memiliki rekod membunuh, menyamun atau merogol orang.

Lalu kalau mahu tahu sentimen rakyat akar umbi jawapannya – rakyat marah, kecewa, tidak percaya yang kejadian seumpama ini boleh berlaku, Menurut rekod inilah kejadian pertama dalam negara dimana seorang budak berusia 15 tahun mati ditembak polis!

Semoga kita semua belajar dari kejadian tragis ini. Jangan biarkan ia berulang dan mencemarkan nama baik kita semua.

Ibu-bapa perlu memantau anak masing-masing. Pihak polis perlu memastikan anggotanya benar-benar terlatih dan bersedia menghadapi situasi cemas.Tidak “trigger happy”, tetapi professional dan cekap dalam menjalankan tugas.

Jangan ulangi insiden seumpama ini lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan