Kongres Tubuh Pasukan Khas, Bukan Melayu Tolong Melayu

KOTA BAHRU, 30 MEI: Pemimpin Parti Keadilan Rakyat dari kalangan bukan Melayu berikrar untuk membantu menyelesaikan masalah orang Melayu dan Bumiputera yang ketinggalan sepanjang lebih 50 tahun pemerintaahan Umno-Barisan Nasional.

Mereka juga sedia membantu orang Melayu dan Bumiputera meningkatkan taraf hidup dengan sedaya upaya mereka atas rasa tanggungjawab sebagai warga Malaysia.

Demikian janji dua pemimpin PKR bukan Melayu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Exco Kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada ucapan dasar kongres PKR 2009 di Kelantan mengumumkan penubuhan pasukan khas bagi mengkaji masalah orang Melayu dan Bumiputera.

Katanya, pasukan khas bakal dianggotai masyarakat berbilang kaum kerana masalah sesebuah kaum tidak hanya perlu dipikul kaum itu sahaja tetapi kaum lain juga perlu menggalas tanggungjawab.

Bercakap kepada TV Selangor, Tian Chua menyifatkan inilah perbezaan ketara antara PKR dengan Umno BN.

“Kita berbeza dengan Umno BN yang anggap masalah satu kaum hanya untuk kaum itu sahaja. Pendekatan kita ialah penindasan kaum terhadap bumiputera yang miskin.

"Ini adalah permasalahan yang harus kita tangani bersama. Itulah sebab pasukan khas ini akan disertai oleh semua kaum. Kita akan berkongsi pengalaman untuk atasi masalah itu,” katanya.

Exco kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar sedia bekerjasama dengan mana- mana individu atau pertubuhan bagi membantu meningkatkan taraf hidup rakyat termasuk orang Melayu dan Bumiputera.

Di Selangor, katanya, bantuan dihulur tanpa mengambil kira identiti kaum, malah kira-kira 80 peratus penerima bantuan kerajaan negeri, terdiri daripada orang Melayu.

Beliau percaya pendekatan yang dibawa PKR dapat meningkatkan taraf hidup rakyat dalam masa kira-kira lima tahun sahaja.

“Saya terima baik cadangan dari Datuk Seri presiden. Di Selangor, saya jaga portfolio kemiskinan melibatkan orang miskin dan orang berpendapatan rendah. Satu jawatankuasa sudah diwujudkan untuk jaga situasi kemiskinan ini,” katanya.
-tvselangor-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan