Millatfacebook Dilancar Selepas Facebook Hina Nabi Muhammad

Satu laman web rangkaian sosial popular iaitu Millatfacebook diperkenalkan bertujuan untuk mewujudkan kesejahteraan hidup orang Muslim tanpa sebarang penghinaan ke atas Islam.

Persis rangkaian sosial popular Facebook, Millatfacebook dibina oleh sekumpulan rakyat Pakistan dan merupakan laman web rangkaian sosial pertama negara itu.

Semuanya bermula apabila seorang pengguna Facebook menganjurkan satu pertandingan ‘Hari Melukis Gambar Nabi Muhammad’.

Pertandingan yang diilhamkan oleh seorang kartunis Amerika Syarikat (AS) itu kononnya bertujuan ‘menggalakkan kebebasan bersuara’ telah dilihat oleh umat Islam sebagai menghina agama Islam.

Tindakan tersebut sekaligus menimbulkan kemarahan rakyat Pakistan, malah umat Islam di seluruh dunia.

Koordinator Millatfacebook, Salman Ahmed berpendapat, Facebook sangat popular kerana dua sebab iaitu ia menjadi tempat di mana orang dengan mudah menyalahgunakan hal-hal sulit dan peribadi mereka dan kedua, ia memiliki unsur-unsur berat sebelah dan 'menentang' persamaan hak.

“Saya berkata demikian kerana pada sebelah tangan isu-isu berkaitan Holocaust tidak boleh dibincangkan tetapi pada sebelah tangan yang lain perasaan umat Islam boleh terus disakiti dengan pertandingan melukis kartun Nabi Muhammad. "Walaupun beribu-ribu aduan telah dibuat terhadapnya (pertandingan karikatur Nabi Muhammad), namun pihak pengurusan Facebook tidak memadam atau mengharamkan halaman itu," katanya.

Halaman Facebook yang menghina Islam itu telah menarik lebih 105,000 peminat dengan paparan lima muka surat yang mengandungi lakaran kasar serta karikatur Nabi Muhammad.

Islam melarang sebarang lukisan yang menggambarkan Nabi Muhammad dan menganggapnya sebagai kufur.

Salman menjelaskan, sebab pihak pengurusan Facebook tidak mengharamkannya kerana ia adalah propaganda kebencian terhadap Islam dan jelas sekali mereka berselindung di sebalik propaganda kebebasan bersuara.

Malah, beliau mempersoalkan tidakkah mereka mempunyai idea tentang sebesar mana sayangnya dan penghormatan orang Islam terhadap Nabi Muhammad.

“Dan percubaan bodoh ini hanya akan menyatukan kami umat Islam sebagai satu umah dan ini menunjukkan betapa kami begitu serius tentang bagaimana untuk mempertahankan serangan-serangan itu,” ujarnya.

Salman mendakwa, Facebook menjana perolehan sebanyak 47 hingga 50 peratus daripada umat Islam dan kira-kira 10 hingga 12 peratus daripada jumlah itu adalah dari Pakistan.

Millatfacebook telah diperkenalkan oleh sekumpulan enam profesional muda teknologi maklumat (IT) dari Lahore, sebuah bandar budaya di Pakistan.

Setakat ini, laman berkenaan mempunyai keahlian kira-kira 64,714 individu dari seluruh dunia.

Fungsinya menyamai Facebook sedia ada yang mempunyai ‘wall’ untuk rakan-rakan bagi membolehkan mereka memberi komen.

Ia turut menawarkan kemudahan lain seperti emel, gambar, video, ruang sembang dan perbincangan.

Salman berkata, Millatfacebook adalah alternatif kepada Facebook dan ia direka menyamainya dari segi ciri-ciri dan kemudahan lain.

“Ia adalah untuk semua, malah sesiapa sahaja dari mana-mana agama tanpa sebarang penghinaan terhadap agama dan perkauman boleh menjadi ahli,” katanya.

-detikdaily-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan