Semua rakyat M'sia di kapal Rachel Corrie selamat

Rakyat Malaysia yang menaiki kapal utama 'Rachel Corrie', satu daripada enam kapal dalam armada kapal kecil yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, selamat, selepas tentera Israel menaiki kapal Turki bagi menghalang konvoi itu.

Al-Jazeera melaporkan sekurang-kurangnya 15 aktivis terbunuh dan ramai yang cedera apabila komando Israel menyerang kapal Turki yang mengetuai armada kapal kecil awal pagi ini.

"SMS dari Rachel Corrie -- Semua yang berada di atas kapal selamat. 1,000 batu dari Gaza," kata seorang pegawai dari Perdana Global Peace Organisation (PGPO) di Kuala Lumpur.

Tiga wakil dari PGPO di atas kapal itu ialah Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu dan anggota parlimen kawasan Parit, Mohd Nizar Zakaria.

Mereka turut disertai wartawan
TV3 Halim Mohamed dan jurukamera Mohd Jufri Judin.

Dalam SMSnya kepada PGPO, Shamsul berkata mereka berada kira-kira 1,000 batu nautika dari Gaza.

"Kami telah mendengar mengenai IHH (kapal Turki). Rancangan sekarang adalah untuk terus maju dan berpatah balik sekiranya terdapat amaran daripada tentera Israel," katanya.

Menurut PGPO, kapal-kapal itu membawa 5,000 tan bahan-bahan pembinaan semula, peralatan sekolah dan peralatan perubatan ke Semenanjung Gaza.

-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan