Tentera Laut Israel mula kepung Konvoi Gaza

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 31 Mei:
Konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa Gaza (Freedom Flotilla) dalam keadaan bersedia tatkala menghampiri perairan Gaza setelah dimaklumkan bahawa ada beberapa buah kapal yang dikenalpasti dari armada Angkatan Laut Israel mendekati ke arah Mavi Marmara.

Laman web Haluan Palestin yang memetik sumber melaporkan, konvoi Freedom Flotilla pada jam 7.30 pagi ini waktu Malaysia diekori oleh kapal Israel antaranya sebuah kapal selam, tiga kapal perang dan sebuah helikopter.

Namun Mavi Marmara tetap bergerak dengan berhati-hati.

Presiden IHH, menyeru agar semua negara yang prihatin untuk mendesak dan memberi tekanan kepada Israel agar membuka jalan bagi konvoi bantuan kemanusiaan memasuki Gaza. Terdapat lebih dari 50 buah negara menyertai konvoi terbesar itu.

Menurut sumber, di Turki telah diadakan demonstrasi di hadapan kedutaan Israel mendesak Israel membatalkan hasrat mereka menyekat perjalanan konvoi.

Beberapa saat menjelang Maghrib, staff IHH mengumumkan kepada seluruh peserta konvoi Freedom Flotilla untuk memastikan diri mereka dalam keadaan siap sedia sebelum pukul 7 pagi ini waktu Antalya, Turki atau sekitar pukul 11 WIB.

Semua peserta diarahkan untuk menyimpan passport dan dokumen berharga masing-masing seperti dompet dalam plastik dan membawanya di badan untuk berjaga-jaga kemungkinan terpaksa berenang.

Konvoi Freedom Flotilla mengharungi laut sepanjang malam menuju Gaza. Dijangkakan bahawa keenam kapal konvoi armada kemanusiaan ini, termasuk Mavi Marmara yang terbesar, akan berhenti sekitar 40 batu dari Pantai Gaza untuk menanti hari siang kembali sebelum berusaha menembus sekatan kapal-kapal Angkatan Laut Israel.

Namun, sebagaimana dilaporkan sebelum ini, Israel telah memperluas zon ketenteraan mereka dari 20 batu kepada 68 batu di perairan laut.

Tindakan Israel menyekat bantuan kemanusiaan yang dibawa oleh konvoi Freedom Flotilla adalah melanggar perundangan antarabangsa kerana yang dihadapi Israel saat ini bukanlah situasi perang melainkan sekelompok aktivis kemanusiaan yang membawa bantuan perubatan, pendidikan dan pembinaan bagi rakyat Gaza yang menderita akibat sekatan yang dikenakan.

Dalam beberapa kesempatan sebelumnya, Presiden Insani Yardim Vakfi (IHH), Fahmi Bulent Yildirim menegaskan bahawa tidak ada satu pun persenjataan yang dibawa dalam kafilah Freedom Flotilla.

“Bahkan sebatang paku pun tidak,” katanya.

Semalam, para peserta menghabiskan waktu mereka dengan berzikir dan memohon pertolongan Allah. Gaza dan seluruh muka bumi ini milik Allah Subhanahu wa Ta’ala – hanya izin Allah saja yang kita minta untuk berjaya memasuki ke Gaza.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan