ruhan
Krisis politik Perak memasuki fasa baru pada masa kini. Perkara itu berlaku setelah seorang ADUN UMNO masuk PKR, ADUN Pakatan Rakyat diculik dan kemudian berpaling tadah, rampasan kuasa, SPR menolak permintaan speaker supaya diadakan PRK di Behrang, Changkat Jering, dan Jelapang, persidangan bawah pokok, rampasan kerusi speaker, dan tertonggoknya MB Mahkamah.
Sejak itu sejarah mencatatkan persidangan DUN Perak dirasmikan dan ditangguhkan pada hari yang sama tanpa sebarang perbahasan serta dua pihak mengadakan persidangan di dewan yang sama.
Fasa kedua bermula dengan desas-desus tiga ADUN UMNO hendak melompat ke PKR kerana tidak puas hati dengan MB. Mungkin bukan itu sahaja sebabnya. Rasa bersalah dan rasa berdosa terhadap perbuatan merampas kerajaan rupa-rupanya bersarang juga dalam hati sebahagian daripada ADUN UMNO itu. Kita pasti MB UMNO juga rasa begitu. Kehidupan mereka seperti cacing kepanasan. Perasaan-perasaan inilah yang sedang menghambat dan menghantui mereka setiap hari dan ketika. Walaupun episod ini kelihatan seolah-olah sudah beres, namun hakikatnya soal hati belum beres lagi. Apabila soal halal haram mula menggoncang jiwa, tiada siapa yang akan rasa tenteram dan aman. Allah sedang menduga mereka.
Ketika desas-desus itu rancak dibincangkan, ADUN Malim Nawar pula yang berpaling tadah. Jika benar hal ini berlaku kerana sabotaj penyamar yang diutus UMNO untuk bekerja dengannya, maka satu lagi taktik kotor UMNO dipersembahkan kepada rakyat pasca hubungan UMNO dengan APCO terjalin. UMNO semakin rakus mengotorkan dirinya.
Kisah tidak terhenti di situ. DAP akan mengambil tindakan menyaman semua ADUNnya yang berpaling tadah dengan tuntutan sebanyak RM5 juta. Semua wakil rakyat DAP didakwa telah menandatangani perjanjian untuk tidak menyeberang ke parti lain setelah memenangi pilihan raya. Kita tunggulah kesudahan episod ini.
Di samping semua itu, rakyat dapat menyaksikan pendirian kukuh Pakatan Rakyat yang memperjuangkan demokrasi dan hak rakyat. Walaupun mereka boleh membentuk kerajaan semula dengan kemasukan tiga ADUN UMNO itu, mereka tetap memilih pembubaran DUN sebagai penyelesai masalah. Oleh sebab itu, ADUN UMNO yang tidak berpuas hati itu perlulah mengemukakan usul undi tidak percaya kepada MB mereka.
Pulang paku buah keras Pakatan Rakyat kali ini makan keliling. Kita tunggu dan lihat sejauh mana berani atau penakutnya orang UMNO menongkah arus. Biarlah hendaknya tidak menjadi Pak Kaduk yang menang sabung kampung tergadai!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan