Wan Nordin Wan Yaacob
KOTA BHARU, 10 Jun: Pemuda PAS menolak andaian kerajaan Pakatan Rakyat tidak memberikan komitmen dalam menghenti dan menutup premis perjudian walaupun Pakatan Rakyat lantang menyuarakan bantahan terhadap keputusan kerajaan meluluskan judi sukan sempena Piala Dunia 2010.
Sebaliknya, kata Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, kerajaan negeri Pakatan Rakyat setakat ini memberi komitmennya untuk tidak melulukan lesen premis judi yang baru.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media selepas menyampaikan Ucaptama Muktamar Pemuda PAS ke-51 dekat sini hari ini.
Turut serta dalam sidang media tersebut, Timbalannya, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani; Naib, Ahmad Sabkhi Yusof; Setiausaha, kamaruzzaman Mohamad dan AJK Pemuda PAS.
Ujar Nasrudin kerajaan Selangor, Pulau Pinang dan Kedah menyatakan komitmen mereka untuk tidak memberi permit mahupun pembaharuan permit premis-premis perjudian yang sudah ada di negeri masing-masing, katanya.
Kelantan pula, katanya, sejak sekian lama telah menolak sebarang premis judi dari beroperasi di negeri itu.
Bagi Nasrudin, usaha untuk membanteras judi ini sangat sukar memandangkan ia telah bersarang lama dalam masyarakat kerana ia digalakkan kerajaan Umno/BN yang mentadbir dahulu.
Sementara lesen judi ialah lesen yang diberikan oleh Kementerian Kewangan, katanya.
Beliau juga berkata, isu judi sebenarnya bukanlah isu yang hanya membabitkan orang Islam, sebaliknya semua agama menentang aktiviti perjudian.
Ujarnya, bantahan terhadap judi ini juga tidak akan menjejaskan sokongan bukan Islam terhadap PAS, sebaliknya mereka bersama-sama untuk menentang kemungkaran yang dibawa Umno/BN ini.
Ini kerana, menurut kajian yang dibuat, semua agama dan budaya menolak judi dan ia disifatkan sebagai satu sikap yang tidak baik dan menjadi penyakit masyarakat.
"Ia berbeza dengan arak yang sesetengah agama dan budaya menerimanya. Jadi kita tidak akan menyekat terus arak kerana ia menjadi hak sesetengah pihak untuk mendapatkannya," kata beliau.
Nasrudin juga menegaskan, pihaknya tidak bercadang untuk memberikan masa tertentu kepada kerajaan negeri Pakatan untuk menghapuskan judi atau segala unsur tidak baik.
"Pemuda akan mengunjungi mereka dan berbincang sebelum membuat apa-apa pandangan," kata Nasrudin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan