Ali Hashim
ALOR SETAR, 1 Jun: Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, menafikan kenyataan Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew yang mendakwa kononnya kilang Fuji Electric yang merupakan pelabur utama di kawasan perindustrian Taman Tekonologi Tinggi Kulim memindahkan operasinya ke Filipina sehingga menyebabkan 2,000 pekerjanya hilang punca pendapatan.
Menurut Amiruddin lagi kenyataan tersebut adalah satu usaha yang sengaja dilakukan bagi memutarbelitkan fakta dan kenyataan yang tidak berasas.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Anak Bukit, berkata, kenyataan Chong itu adalah tindakan yang berniat buruk untuk memburuk-burukkan Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat di negeri Kedah.
"Sehingga ini kilang Fuji Electric tersebut masih lagi mempunyai 2000 pekerja dan tidak berlaku pemindahan operasi ke Filipina sepertimana yang didakwa oleh Pengerusi MCA Kedah tersebut.
"Syarikat tersebut juga kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh Chong dan memaklumkan sekiranya kenyataan tidak berasas ini terus disebarluaskan maka Fuji Electric tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit.
"Suka ditegaskan di sini sehingga saat ini tiada kilang yang ditutup atau keluar dari kawasan perindustrian Taman Tekonologi Tinggi Kulim.Terdapat 50 buah kilang yang masih beroperasi di situ dan nilai pelaburan di kawasan perindustrian tersebut juga berjumlah RM24 bilion.Ini memberi peluang pekerjaan kepada lebih 16000 pekerja," katanya.
Menurut Amiruddin lagi bagi dua bulan pertama tahun 2010 terdapat dua pelaburan baru di kawasan perindustrian tersebut yang memberi 1,382 peluang pekerjaan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.529 bilion.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan